Buat apa mahu mengembara ke luar negara semata-mata mahu menikmati kesejukan air terjun yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi? Malaysia sendiri mempunyai banyak taburan air terjun yang mengagumkan disamping terkenal dengan sejarahnya. Bagi anda yang merancang mahu ke kawasan alam semula jadi untuk menghilangkan tekanan, berikut senarai air terjun yang boleh dijadikan terapi buat anda kunjungi pada bila-bila masa saja.

 

AIR TERJUN STONG, KELANTAN

Juga dikenali sebagai air terjun Jelawang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Ia mengambil masa selama dua jam mendaki untuk sampai ke puncak air terjun. Air terjun yang mempunyai ketinggian 305 meter ini mengalir dari tebing batu tinggi dan mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama pelancong. Selain menyediakan kemudahan-kemudahan menarik seperti chalet, surau dan tapak perkhemahan, anda juga boleh melakukan aktiviti jungle trekking. Bagi anda yang berani, anda boleh melakukan aksi meluncur dari atas puncak air terjun. Anda boleh melihat panorama matahari terbit dari puncak air terjun.

 

AIR TERJUN LATA TEMBAKAH, TERENGGANU

Mempunyai tujuh tingkat dan banyak kolam-kolam takungan ini merupakan tarikan utama penduduk tempatan dan orang luar berkunjung ke sini. Bagi anda yang membawa keluarga atau anak-anak kecil, kolam-kolam takungan di tingkat satu dan dua adalah yang paling sesuai kerana kawasannya yang luas dan tidak perlu berjalan jauh. Melainkan jika anda punyai stamina tinggi, anda boleh daki sehingga ke tingkat yang paling tinggi.

 

AIR TERJUN CHILING, SELANGOR

Hanya 21 kilometer dari Kuala Kubu Bharu, air terjun ini dikatakan air terjun tercantik yang terdapat di Selangor. Mempunyai tiga tingkat, anda perlu melalui trek mencabar sepanjang sungai untuk sampai. Perjalanan untuk sampai ke air terjun memakan masa kira-kira satu jam selepas lima kali menyeberangi jeram. Usah risau, paras air jarang melebihi paras paha dan arus juga perlahan membolehkan anda boleh menyeberang dengan mudah. Selain menyaksikan panorama indah, anda juga boleh melihat kejinakan spesis ikan kelah yang bermain arus di celah-celah batu.

 

AIR TERJUN JERAM TOI, NEGERI SEMBILAN

Terletak di kawasan Hutan Lipur Jeram Toi, Kuala Klawang daerah Jelebu ini mempunyai sejarahnya tersendiri. Dikatakan bahawa nama air terjun ini diperoleh sempena nama To' Batin Toi, seorang ketua orang asli yang pernah menghuni hutan ini suatu ketika dulu. Tarikan air terjun ini juga terletak pada tujuh tingkat yang dikelilingi alam rimba yang hijau memukau. Selain berkelah, anda juga boleh melakukan aktiviti lasak dengan menyusuri sepanjang jeram untuk melihat kawasan hutan. Namun, anda perlu mendapatkan bantuan kakitangan dari Jabatan Perhutanan terlebih dahulu.

 

AIR TERJUN LATA KINJANG, PERAK

Air terjun bertingkat-tingkat yang hebat ini menjunam 850 meter ke bawah sebelah tepi gunung merupakan satu pemandangan yang sangat menarik. Anda boleh menikmati perkelahan yang menyeronokkan ini kerana airnya yang datang dari gunung. Air terjun yang terletak sejauh 18 kilometer dari pintu keluar Tapah ini boleh dilihat dari lebuhraya Utara-Selatan dari pintu keluar Tapah. Di kawasan ini juga anda boleh melihat dan membeli barang-barang kraftangan yag dihasilkan oleh penduduk tempatan terutamanya orang asli.

 

Ada banyak lagi air terjun yang menarik terdapat di Malaysia. Meskipun ia tidak jauh beza dengan air terjun yang lain tetapi keindahan dan panorama yang tidak mungkin anda dapat saksikan di bandar ini mampu menggamit perasaan untuk bertandang lagi. Maklumlah, air terjun taman tema tidak sama dengan air terjun semulajadi. Sejuk dia lain macam!

 

P/S: Gambar-gambar adalah dari sumber Internet