Tiada halangan untuk anda yang pertama kali ingin cuba untuk backpacking. Hanya dengan membawa beg galas dan kemudahan yang semakin banyak didapati hari ini, membuatkan ramai ‘kaki jalan’ berani untuk melancong secara backpacking. Namun ada beberapa rahsia yang perlu anda tahu untuk backpacking di negara asing terutama mereka yang begitu menitikberatkan bajet.

Beg Ringan
Oh... Jangan berangan mahu membawa lima helai seluar jeans, sepuluh helai baju tebal mahupun tiga pasang kasut. Kunci utama backpacker adalah lebih ringan lagi bagus. Seorang backpacker seperti anda memerlukan beg galas yang ringan kerana memudahkan anda untuk berlari jika terlepas kemudahan awam. Malah, anda mampu berjimat untuk tidak mengeluarkan lebih wang gara-gara bagasi terlebih berat.

Asrama
Tolak tepi hotel-hotel mewah. Asrama atau hostel adalah pilihan paling bijak selain mampu menjimatkan lebih banyak wang. Tip penting untuk mencari tempat persinggahan adalah memilih asrama yang mempunyai dapur supaya anda tidak perlu makan di luar.

Pas Keretapi
Jika anda mengembara di sekitar Eropah Utara, Selatan Eropah atau Asia, perkhidmatan keretapi adalah yang termurah kerana di sana anda boleh membeli pas awal yang membenarkan anda berjalan ke beberapa negara tertentu untuk satu jumlah masa. Kebaikan pas ini adalah membantu menjimatkan wang kerana membeli pas secara pukal.

Makanan Sendiri
Jangan lupa membawa sendiri makanan ringan berbentuk bar tenaga seperti bar granola yang boleh membantu anda melawan rasa lapar di antara makanan pagi dan petang. Mempunyai bar coklat, bar kacang dan sebagainya menolak anda untuk terus membeli makanan ringan yang lain.

Berjalan
Hendak menjadi backpacker, lupakan kenderaan seperti teksi yang semestinya akan mengenakan tambang yang mahal. Backpacker amat sinonim dengan berjalan kaki sambil berbekalkan peta untuk melihat keindahan alam secara dekat. Hati-hati dengan keselamatan anda ketika berjalan ya!

Pesanan
Kesilapan yang sering dilakukan oleh backpacker adalah merancang perjalanan secara senyap-senyap kerana bimbang diekori. Atau ibu bapa mahupun pasangan tidak membenarkan tujuan anda. Tetapi sebaiknya, beritahulah kepada keluarga kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku. Backpacking tidak bermakna menghilangkan diri.

Jadi, tidak kiralah sama ada anda mengembara secara solo mahupun bersama rakan-rakan, bajet sedikit bukan halangan untuk menikmati keseronokan melancong. Sentiasa cari jalan untuk percutian yang seronok dan memuaskan, serta salah satu cara adalah secara backpacking. Kembara serba ringkas adalah kejayaan seorang backpacker. Sudahkah anda bersedia?