Siapa yang tidak mahu tinggal di hotel yang mewah dan selesa apabila bercuti tetapi bukan semua yang mampu untuk berbuat demikian. Jadi pilihan yang sesuai adalah dengan menempah bilik di hotel bajet. Mencari hotel bajet yang baik di tempat yang asing bagi kita bukanlah perkara yang mudah dan ini boleh menjadikan kita sedikit tertekan dalam membuat keputusan.

 

Bagi membantu anda mengurangkan tekanan ini, mari Libur berikan beberapa tip yang berguna untuk anda cuba.

 

1. Cari melalui laman web untuk mendapatkan harga yang terbaik

Encik Google semestinya dapat membantu anda dalam hal ini. Taip sahaja 'hotel bajet', ia akan memuntahkan ratusan ribu carian dalam masa beberapa saat sahaja. Jadi, untuk memudahkan usaha pencarian anda apa kata anda gunakan laman web yang spesifik untuk mencari hotel murah.

 

Laman web seperti Trivago, Agoda dan banyak lagi dapat meringankan otak anda dalam membuat pilihan. Laman-laman web ini bukan sahaja lengkap dengan semua ciri yang memudahkan anda mencari, malah anda boleh menempah terus dari laman web berkenaan.

 

2. Kos tersembunyi (hidden cost)

Walaupun sudah tertera harga di papan iklan (atau laman web) dengan terang, anda mungkin tidak perasan kos tersembunyi yang ditulis dengan kecil di hujung (bawah) iklan tersebut. Pastikan anda peka akan tanda-tanda seperti ini '*' atau '**' di hujung harga kerana ini menunjukkan harga tersebut akan ada peningkatan kelak.

 

Nama pun bajet jadi jangan jadikan kecuaian untuk melihat tanda-tanda seperti ini memaksa anda membayar lebih dari bajet yang anda peruntukkan.

 

3. Pakej percutian

Jika tarikh percutian anda fleksibel, ini merupakan peluang untuk anda mendapatkan pakej percutian dengan harga yang menarik. Kebanyakkan syarikat percutian akan membuat tawaran pakej percutian murah atau diskaun yang termasuk harga tiket, penginapan dan banyak lagi pada masa-masa tertentu.

 

Ini membolehkan anda untuk menikmati hotel penginapan yang lebih baik berbanding jika anda menempah sendiri hotel memandangkan ia datang sekali dengan pakej percutian tersebut.

 

4. Lokasi, lokasi, lokasi

Apabila hotel bajet ini selalunya ada kelengkapan asas sahaja, ini membolehkan anda bajet lebih untuk menerokai tempat yang anda kunjungi. Penting untuk anda menempah hotel yang dekat dengan kemudahan pengangkutan awam atau tinggal di tengah-tengah bandar untuk mengelakkan anda perlu berbelanja lebih untuk bergerak.

 

5. Reviews/ Ulasan

Laman-laman web pasti akan menjamu mata anda dengan gambar terbaik hotel mereka (walaupun hakikatnya jauh dari itu). Jadi, anda bolehlah bergantung kepada ulasan mereka yang pernah tinggal di hotel tersebut.

 

Baca dengan teliti sebanyak ulasan yang mungkin untuk anda mendapat gambaran kasar akan keadaan sebenar apabila anda menempah hotel itu. Semestinya tidak semua orang bersependapat dalam soal keselesaan namun sebaiknya ambillah undian majoriti.

 

6. Apa yang penting untuk anda

Ulasan boleh memberitahu anda banyak benda - tahap kebersihan, tahap kebisingan, kualiti makanan, tahap servis, dan lain-lain. Berlainan orang, lain kesukaan mereka. Jadi, pastikan anda tanya pada diri anda apa yang perlu ada untuk anda selesa menginap di situ.

 

Jika anda sukakan kebersihan tetapi tidak kisah sangat perihal kebisingan, buatlah pilihan yang sesuai.

 

7. Bilik air di dalam bilik hotel

Ada sesetengah hotel murah yang menyuruh anda berkongsi bilik air dengan penginap yang lain. Tidak! Tidak kiralah bagaimana berbezanya kesukaan seseorang, berkongsi bilik air mungkin akan menjadi pengalaman ngeri untuk percutian kita.

 

Pilihlah hotel bajet yang ada bilik air tersedia di dalam setiap bilik agar anda tidak perlu berkongsi dengan orang lain seperti ketika kita duduk di asrama masa kolej dahulu.

 

8. Berbaloi dengan harga

Jika anda bayar lebih, anda akan dapat lebih. Begitu juga dengan hotel bajet. Lebihkan sedikit bayaran anda untuk dapatkan keselesaan dan ciri yang lebih baik berbanding dengan memilih hotel paling murah dan anda tidak berpuas hati dengan semua perkara.

 

Asalkan keperluan anda semuanya ada, dan anda gembira dengan penginapan anda cukuplah ia untuk anda!