Detik 12 tengah malam nanti adalah masa yang ditunggu untuk menyambut kedatangan tahun baru. Bagi anda yang tercari-cari lokasi 'happening' sekitar Lembah Klang sempena cuti am tahun baru ini, kami cadangkan tiga lokasi ini untuk anda nikmati bersama keluarga. Bagi anda yang berada luar dari Lembah Klang, bergerak sekarang supaya tidak terlepas acara kemuncak 2014!

 

KLCC

Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang terletak di sekitar Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Binjai, Jalan Kia Peng dan Jalan Pinang ini bukan saja terkenal dengan bangunan berkembar tertinggi di dunia tetapi ia penuh dengan pusat beli belah, restoren, butik dan terdapat satu tempat lepak awam dan masjid untuk pengunjung. Tahun ini, KLCC (Holding) Sdn Bhd bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menampilkan sambutan ekstravaganza ambang tahun baru selama tiga jam di taman Esplanade KLCC hari ini. Terdapat paparan skrin air serentak dengan muzik dan imej serta pertunjukan bunga api terbesar di Kuala Lumpur dilakukan tepat detik 12 tengah malam nanti.

 

PICC Putrajaya

Buat pertama kalinya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mengadakan sambutan tahun baru 2014. Bermula seawal jam 10.00 pagi, Bazar @PICC akan berlangsung di foyer aras Concourse dan berterusan sehingga jam 12 tengah malam. Terdapat juga persembahan terbuka dan percuma dari kumpulan 'Buskers & Clown'. Acara kemuncak bermula jam 9.00 malam di Dewan Plenary di masa satu pementasan Geng Lawak @PICC akan menggegarkan pentas dengan barisan pelawak tempatan.

 

I-city, Shah Alam

Bagi anda yang menolak untuk sesak menuju ke pusat bandar seperti Kuala Lumpur, I-city adalah lokasi yang paling mudah untuk anda menyambut tahun baru. Terletak di Seksyen 7, biar pun tidak ada percikan bunga api namun sejuta lampu LED yang menghiasi persekitaran sudah cukup merasa suasana yang cukup menarik. Selain tarikan lampu digital, anda boleh singgah di Red Carpet yang menempatkan patung lilin selebriti antarabangsa. Terdapat juga muzium seni 'trick' di mana anda boleh melihat dan bergambar bersama gambar-gambar paparan 3D. Jangan lupa juga singgah di Snowalk untuk bermain salji manakala Waterworld untuk bermain air.

 

Tidak kisahlah apa pun aktiviti, lokasi atau cara anda menyambut kedatangan tahun baru ini. Apa yang penting, diharap tahun baru ini memberi anda lebih banyak pengalaman percutian yang menyeronokkan kerana bumi ini luas untuk diterokai. Selamat Tahun Baru 2014 dari Web Libur!