Memilih lokasi berkelah terutama air terjun bukan boleh sebarangan. Ada beberapa perkara yang perlu anda ambil berat supaya perkelahan anda tidak bertukar menjadi tragedi yang tidak diingini. Jika anda merasa was-was dengan pemilihan lokasi, entri ini mungkin boleh membantu anda berkelah dengan lebih selesa dan menyeronokkan!

 

Kemudahan

Sebaik sahaja anda sampai ke lokasi perkelahan pilihan, perkara utama yang perlu difikirkan adalah kemudahan yang disediakan. Bermula dari penyediaan tempat letak kereta, kami pasti sesiapa pun mahu kereta yang ditinggalkan akan berada di dalam keadaan yang baik. Selain itu, paling penting adalah penyediaan tandas awam untuk kemudahan menukar pakaian, mandi dan sebagainya. Pastikan juga terdapat pondok untuk kemudahan orang Islam bersolat.

 

Kebersihan

Meskipun sukar mencari lokasi perkelahan 100% bersih dari pencemaran, sekurang-kurangnya anda perlu menitikberatkan lokasi yang selamat dari sebarang sarang binatang yang boleh membawa penyakit. Misalnya, lokasi yang penuh sampah sarap boleh menjadi pusat pembiakan seperti tikus. Tikus yang kecil sudah cukup untuk menyebarkan penyakit melalui sumber air semula jadi berbanding kawasan kolam yang mempunyai klorin. Oleh demikian, pastikan lokasi perkelahan bersih dari pusat pengumpulan sampah dan jauh dari pencemaran.

 

Keselamatan

Selain kebersihan, faktor keselamatan juga perlu diambil kira. Adalah lebih baik memilih lokasi yang mempunyai ramai pengunjung. Elak berkelah di lokasi yang sunyi dan tidak mempunyai penjaga. Biasanya, penjaga sering berkeliaran untuk memerhati pengunjung jika ada segelintir pengunjung melakukan aktiviti yang tidak baik.

 

Selain membawa barang keperluan peribadi, makanan dan alat-alat untuk berkelah seperti khemah kecil, tikar, tempat membakar makanan dan sebagainya, anda juga disarankan untuk membawa ubat-ubatan dan penyembur binatang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

 

Oh ya! Jangan lupa membawa beg plastik sendiri untuk menyimpan barangan buangan atau lebihan bekas makanan. Elak tinggalkan sampah begitu sahaja kerana boleh mengundang pemandangan yang kurang cantik selain tempat pembiakan nyamuk dan tikus.

 

Jika anda masih was-was untuk berkelah, diharap tiga tip ini sudah memadai memberi anda keyakinan untuk menikmati keindahan yang terdapat di negara kita. Moh berkelah dengan selamat!