Entri kali ini mengajak anda mencari lokasi makan-makan sekitar Lembah Klang yang anda mesti pergi terutama pada hujung minggu ini. Beruntungnya menjadi rakyat Malaysia apabila negara kita kaya dengan pelbagai juadah yang benar-benar menggoda selera seawal pagi sehingga lewat malam.

 

Restoran Hartinie, Shah Alam

Jika anda tercari-cari sarapan 'berat' seawal pagi, restoran Hastinie yang terletak di Seksyen 10, Shah Alam ini perlu dimasukkan dalam senarai anda. Mana tidaknya, seawal pagi anda sudah terhidang dengan pelbagai jenis lauk seperti kerutuk ayam, ikan percik, ayam percik dan banyak lauk lain. Sarapan ringan seperti soto, nasi impit dan kuah kacang beserta pemanis mulut seperti bubur kacang, bubur durian, bubur jagung, kuih-muih dan pastri turut disediakan.

 

Restoran Jaring, Petaling Jaya

Memulakan perniagaan seawal 7 pagi, masakan pantai timur seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak pelbagai lauk, kuih muih dan roti canai boleh didapati dengan mudah di sini. Untuk pengetahuan anda, restoran ini terkenal dengan hidangan kerabu, sup tulang, sup gearbox dan banyak lagi.

 

Restoran Rozita, Pantai Dalam

Jika anda teringin menikmati tapai goreng ‘original’ seperti di Kelantan, restoran ini memang patut dikunjungi. Penyediaan meja makan dan hidangan lauk pauk yang teratur bukan saja memberi keselesaan buat pengunjung tetapi turut memberi kepuasan kepada selera anda. Selain  pelbagai lauk pauk bermula dari rebus, goreng, bakar dan sebagainya, ulam-ulaman yang tersedia juga sangat segar. Kami pasti makan tengahari anda lebih nikmat adanya ulaman, bukan?

 

Rawang Burger Bakar, Wangsa Maju

Bagi anda yang tercari-cari menu barat pada tengah malam, Rawang Burger Bakar atau nama singkatannya RBB bukanlah jenama yang asing buat penggemar yang setia beratur panjang demi burger bakar ini. Memiliki 60 cawangan di Malausia ini khabarnya juga telah berkembang sehingga ke United Kingdom. Biar betul! Menariknya burger ini adalah anda sendiri boleh melihat secara 'live' daging burger yang tebal ini dibakar atau di gril dan sos istimewa mereka.

 

Nasi Ambeng Warung Ibu, Tanjung Karang

Jika anda singgah di Tanjung Karang, jangan lupa singgah di sebuah warung yang terkenal dengan menu Nasi Ambeng dan Soto. Bagi anda yang belum pernah menikmati hidangan berasal dari Jawa, inilah masanya untuk anda mencubanya. Nasi Ambeng berupa nasi putih yang dimakan bersama mi goreng, ikan masin goreng, sambal goreng, tempe goreng dan lauk wajib adalah serunding memang terlebih kenyang dibuatnya.

 

Kami yakin ada banyak lagi restoran, warung, gerai tepi jalan dan sebagainya yang boleh anda kunjungi bersama rakan-rakan dan keluarga untuk dinikmati pada hujung minggu ini. Selain lima lokasi di atas, jom kongsi lokasi makan-makan yang menjadi 'port' wajib setiap hujung minggu anda!

 

**Kredit foto Nasi Ambeng Warung Ibu, Tanjung Karang dari ambrynaa.blogspot.com