Buat anda yang pertama kali menaiki pesawat, pasti anda pernah mengalami situasi telinga berdengung sehingga membuatkan anda kurang selesa dan panik sekejap. Jika dibiarkan, ia boleh mengundang rasa sakit seperti pening dan loya. Anda sememangnya tidak mahu ‘cipta’ sejarah memalukan di dalam pesawat, bukan?

 

Hampir semua penumpang mengalami masalah yang sama iaitu rasa tekanan di dalam telinga sehingga mengakibatkan telinga berdengung dan rasa kurang selesa. Situasi ini menjadi lebih teruk apabila anda mengalami selesema, demam, sakit tekak atau alahan pada hidung. Namun ia hanyalah bersifat sementara jika anda tahu merawatnya.

 

Apa yang boleh anda lakukan adalah elak tidur ketika kapal terbang berlepas atau mendarat. Hal ini kerana tekanan paling kuat dan ketara ketika dua keadaan ini.

 

Selain itu, jangan lupa kunyah sesuatu semasa menaiki penerbangan. Kunyahlah gula-gula getah atau gula-gula berangin perisa pudina untuk anda 'melupakan' rasa sakit telinga ini.

 

Memandangkan udara di dalam kabin adalah kering, anda digalakkan untuk mengambil banyak cecair seperti minum air mineral untuk menghidratkan anda.

 

Tip paling berkesan adalah menggunakan teknik 'vasalva' iaitu dengan menutup hidung dan mulut, kemudian hembuskan nafas dengan kuat. Ingat! Jangan hembus terlalu kuat kerana ia boleh merosakkan gegendang telinga  dan tiub Eustachian.

 

Jika anda khuatir dengan keadaan anda, tidak ada salahnya anda mendapatkan ubat seperti 'decongestant' yang boleh diperolehi dari doktor. Begitu juga jika anda mengalami selesema, ada baiknya anda tunda tarikh penerbangan sehingga anda betul-betul sembuh.

   

Menaiki penerbangan tentunya sesuatu momen yang menggembirakan. Jangan kerana fobia akibat tekanan dan bunyi desing yang kuat ini, anda menolak untuk bercuti kerana bercuti sepatutnya hobi yang nikmat!