Ingin pergi bercuti tetapi ada sesuatu yang menyekat hati untuk bercuti dengan tenang. Apabila teringat haiwan peliharaan tidak terjaga di rumah. Kalau begitu, kenapa tidak bawa sama?

KAPAL TERBANG
Jika anda mahu membawa haiwan seperti kucing dari Sarawak atau Sabah ke Semenanjung atau sebaliknya, pastikan anda mendapatkan 'Lesen Mengimport Binatang' dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar terlebih dahulu. Ia merupakan kelulusan untuk membawa masuk haiwan ke Semenanjung.

Beberapa hari sebelum berangkat, anda perlu membawa haiwan dan  lesen mengimport tadi ke Jabatan Veterinar. Ini untuk mendapatkan 'Permit to Export' pula. Bukan apa, ini untuk memastikan haiwan yang dibawa bebas penyakit & tidak mempunyai sebarang masalah lain.

Penting sekali untuk menentukan sama ada haiwan peliharaan di bawa menerusi kargo @ bagasi. Terpulang pada anda setelah menerima nasihat dari pekerja di Lapangan Terbang itu nanti.

Bawalah haiwan anda di dalam sangkar dengan berhati-hati dan pastikan ia berkunci. Jangan lupa tunjuk segala dokumen-dokumen berkaitan. Untuk pengetahuan, kucing perlu ditimbang di kaunter daftar masuk dan akan di caj mengikut berat. Kemudian, kucing  akan ditempatkan dibahagian khas.

Sejurus mendarat, teruslah menuju ke Seksyen Kuarantin Haiwan untuk mengambil kucing tadi. Tunjukkan 'Lesen Mengimport Binatang' itu kepada pegawai yang bertugas. Hanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) saja yang menyediakan perkhidmatan penghantaran haiwan. Prosedur membawa binatang dari Sarawak atau Sabah ke Semenanjung berbeza dengan prosedur membawa binatang dari Semenanjung ke Sarawak atau Sabah. Sangkar yang dimaksudkan adalah jenis travel carrier. Setiap bayaran berbeza-beza mengikut tempat dan eloklah bertanya kepada sesiapa yang mahir.  Setiap jenis haiwan berbeza mengikut harga dan prosedur.

KENDERAAN DARAT
Kalau setakat kawasan dekat, anda tidak perlu menyediakan apa-apa lesen mahupun dokumen. Bagi anda yang sudah merancang percutian lebih-lebih lagi perayaan yang semakin dekat ini, anda perlu menitikberatkan beberapa perkara supaya kucing anda tidak merasa rimas.

Pastikan anda menyediakan sangkar atau pet carrier supaya kucing anda tidak mengganggu perjalanan anda. Maklumlah, kucing gemar duduk di tempat sempit dan mungkin akan duduk di tempat letak kaki pemandu atau bawah kerusi. Jika anda tidak mempunyai sangkar, jangan lupa bentang alas menutup kerusi untuk elak bulu kucing melekat.

Amat penting melatih kucing anda berpuasa jika perjalanan anda mengambil masa lebih dari lima jam. Tujuan anda berbuat demikian adalah untuk mengelakkan kucing anda membuang air besar atau kecil dan muntah. Mana mungkin anda mahu melepaskan kucing anda semata-mata mahu memberinya ruang untuk membuang. Jika anda memberi kucing anda makan, berkemungkinan kucing akan muntah kerana kucing juga boleh mabuk akibat tertekan dengan perjalanan yang lama dan tidak selesa.

Setiba anda di lokasi, biarkan kucing anda menerokai tempat baru kerana ia cara kucing menyesuaikan diri. Untuk elak kucing sesat dan hilang, pastikan anda memakainya rantai yang tertera nombor telefon anda. Jika sebelum ini kucing anda terbiasa dengan pasir buatan, jangan lupa bawa pasirnya dan makanan kegemarannya.

Jadi, tidak ada alasan untuk anda meninggalkan kucing anda yang belum tentu lagi selamat dan terjaga di bawah jagaan orang lain. Jika terpaksa, pastikan anda hantar kucing anda ke klinik veterinar atau pusat penjagaan kucing yang ada menyediakan perkhidmatan boarding yang sebetulnya. Tidak ada sesiapa yang boleh pisahkan anda dan si comel meskipun anda sedang bercuti.