Penulis:  Halim Ideris

 

Acapkali penulis memikirkan destinasi menarik yang baru untuk diterokai. Namun, Korea Selatan senantiasa berada di dalam minda sejak dari dulu lagi. Seperti bulan jatuh ke riba, kali ini penulis berpeluang mengembara ke Seoul, Korea Selatan bersama syarikat penerbangan Korean Air. Bukan sebarang kota - ibu negara Korea Selatan ini merupakan bandaraya metropolitan kedua terbesar di dunia dengan jumlah penduduk mencecah 25.6 juta orang.
 
Hati gembira terasa sejak menjejakkan kaki ke dalam pesawat Korean Air di KLIA. Berbaju seragam dengan gaya anggun terkini, pramugari Korean Air menyambut semua penumpang dengan sapaan manis “annyeong hasaeyo”. Perjalanan yang memakan masa selama 6 jam setengah menuju Seoul terasa cepat sekali dengan keselesaan sepanjang penerbangan. Penulis juga kagum apabila mengetahui bahawa hidangan halal juga dapat disediakan kepada penumpang, dengan memaklumkan kepada Korean Air sewaktu membuat tempahan tiket.

 

 

SEKITAR KAWASAN LAPANGAN TERBANG

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, penulis dibawa melawat sekitar lapangan terbang oleh pegawai Incheon International Airport Corporation (IIAC), Encik Heo Seok Jun. Banyaknya kemudahan bertaraf antarabangsa seperti ruang istirahat yang selesa, restoran yang pelbagai dan pilihan membeli belah bebas cukai yang pasti membuatkan kita rambang mata. Kemudahan ruang solat juga tersedia! Penulis dimaklumkan bahawa tidak lama lagi, akan ada dua buah restoran halal di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan pihak IIAC sentiasa peka terhadap keperluan penumpang dari setiap negara dan latar belakang. Tidak hairanlah IIAC merupakan penerima anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia oleh Airports Council International sejak tahun 2005 hingga 2015 berturut-turut tanpa henti!
 
Kemudian, penulis berpeluang meneroka INHA International Medical Centre (IIMC), sebuah institusi kesihatan terkemuka yang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Cik Heidi Kim, pegawai IIMC memberitahu penulis bahawa kedudukan IIMC yang hanya beberapa minit dari lapangan terbang amatlah strategik. Bagi penumpang transit, pelbagai kemudahan turut disediakan seperti pemeriksaan kesihatan, dermatologi, pergigian, perubatan tradisional Korea dan juga spa kesihatan. Penulis juga kaget apabila mengetahui Cik Heidi Kim yang disangkakan baru lepasan universiti rupa-rupanya sudah berusia 30-an dan mempunyai 2 orang anak. Ternyata ini membuatkan penulis yakin dengan kualiti dan keberkesanan IIMC di dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan terbaik di rantau ini.
 
KEMBARA KOTARAYA SEOUL

Penulis dibawa ke pelbagai tempat tarikan utama Seoul seperti Insadong, muzium rakyat (folk museum), Istana Gyeongbokgung, susur sungai Cheonggyecheon, pasar Namdaemun dan pasar Myeongdong. Korea Selatan yang sekarang sudah pulih sepenuhnya dari MERS sekarang melihatkan kunjungan pelancong yang tidak putus-putus! Kebetulan, penulis berada di Seoul ketika Korea Selatan meraikan Hari Kemerdekaan yang ke 70 – kibaran bendera Korea Selatan menghiasi kotaraya metropolitan ini membuatkan hati terasa sangat kagum dan terpesona. Penulis juga berpeluang menonton persembahan JUMP yang berkisarkan kehidupan sebuah keluarga Korea yang juga memaparkan aksi seni pertahankan diri taekwondo. Lawak jenaka yang dipersembahkan membuatkan semua penonton tak kering gusi. Two thumbs up!
 

 

ALAM MENAKJUBKAN DI EVERLAND

Pada hari kedua penulis dibawa ke Taman Tema Everland yang terletak di Gyeonggi-do, tidak jauh dari kotaraya Seoul. Taman tema terbesar di Korea Selatan kendalian Samsung Everland, Everland menerima kunjungan melebihi 7 juga pengunjung dalam dan luar negara setiap tahun. Tarikan utama EVerland – T Express pernah dinobatkan sebagai roller coaster tercuram di dunia dengan kecerunan 77 darjah. Penulis sememangnya tidak melepaskan peluang keemasan ini memandangkan T Express juga menggunakan landasan kayu dan ini pasti menambahkan debaran hati. Beberapa lagi opsyen yang kurang ekstrem adalah Thunder Falls dan Amazon Express yang bertemakan air dan lebih sesuai untuk hiburan sekeluarga. Di kawasan Zootopia, para pengunjung boleh mengalami kembara melihat haiwan liar Afrika melalui Lost Valley dan Safari World. Sekali lagi penulis kagum apabila mengetahui bahawa terdapat surau dan restoran makanan halal di Everland – sememangnya terbaik!
 
MAKANAN HALAL & KEMUDAHAN SOLAT

Penulis yakin persoalan utama yang bermain di minda anda ialah perihal makanan halal dan kemudahan solat. Di Seoul, anda boleh menikmati makanan halal di restoran terutamanya di kawasan Masjid Seoul dan sekitar Itaewon. Selain itu, ada juga restoran yang menyediakan 100% makanan laut. Malah kemudahan solat juga disediakan di beberapa buah restoran ini walaupun diusahakan oleh penduduk Seoul sendiri. Sepanjang perjalanan di Seoul, penulis berasa amat gembira kerana dapat mengembara pada masa yang sama menikmati masakan tradisional tempatan yang halal seperti okdom gui (ikan tilefish bakar), pelbagai kepah dan lokan tempatan serta makanan yang berasaskan rumpai laut. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut pastinya senang hati.
 

 

IMPIAN MENJADI NYATA

Seoul, kotaraya metropolitan berwajah ceria seribu satu warna. Kebetulan hari terakhir penulis di sana merupakan hari lahir penulis. Walaupun hanya beberapa hari di sana, penulis merasakan bahawa ianya sebuah pengalaman yang sangat menakjubkan. Tidak hairanlah jika mereka yang pernah ke sini, akan kembali melawat lagi. Dengan adanya penerbangan kerap Korean Air yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Seoul, anda sudah selangkah hampir ke kotaraya penuh keajaiban ini. Jadi apa yang anda tunggu lagi? Penuhi impian anda dan yuk kita ke Seoul bersama Korean Air!