Setiap destinasi yang anda kunjungi mempunyai pemandangan, karakter dan suasana tersendiri. Mengambil gambar yang indah ini tidak semestinya memerlukan kamera yang canggih dan mahal. Berbekalkan kamera digital atau telefon berkamera piksel besar sudah memadai.

 

1. Sudut Lantai

Biasanya anda mengambil gambar dengan tangan ke atas untuk mengambil gambar bangunan mahupun gambar rakan yang berlatarbelakangkan bangunan bersejarah. Malangnya gambar yang terhasil lebih menampakkan bangunan dari jarak jauh dengan rakan anda yang tidak ubah seperti semut kecil. Kali ini, cuba tangkap gambar dari lantai. Meniarap lebih bagus dan gambar bangunan akan kelihatan lebih besar.

 

2. Kaji Tempat

Perkara ini memang sangat penting tetapi kita jarang mengamalkannya. Apabila sampai ke destinasi melancong, jangan lupa ambil beberapa risalah untuk mengetahui beberapa lokasi hebat. Ia amat merugikan jika ada beberapa lokasi menarik yang anda terlepas untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.

 

3. Gambar Halus

Ramai yang tidak tahu fungsi macro yang terdapat pada kamera digital atau telefon berkamera. Fungsi macro bertujuan untuk mengambil gambar yang halus dengan lebih terperinci dan jelas. Disebabkan itu setiap butang macro ada simbol bunga. Cuba anda ambil gambar bunga dan zoom. Hasilnya sangat cantik jika anda pandai mengaplikasinya.

 

4. Ambil Gambar Makan

Ketika melancong, jangan lupa ambil gambar makanan. Tidak semua destinasi mempunyai makanan yang sama. Makanan melambangkan keunikan sesebuah tempat lebih-lebih lagi jika anda melancong ke luar negara. Ambil seberapa banyak gambar makanan sehingga ia boleh membuatkan orang terliur melihatnya. Anda boleh ambil dua sudut gambar makanan iaitu dari atas dan dari tepi yang menampakkan pinggan.

 

5. Gambar Berwarna

Setiap kali melancong, elak mengenakan pakaian yang gelap. Untuk menambah 'seri' keindahan gambar yang anda tangkap, pastikan anda memakai pakaian yang berwarna terang dan menyerlah seperti merah, kuning, hijau atau oren. Pakaian yang menyerlah membantu gambar yang anda tangkap menjadi lebih menarik dan menonjol.

 

6. Cuaca Baik

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih 'hidup' dan semulajadi, tunggu cuaca yang baik seperti langit membiru dan awan yang berkepul-kepul. Mempunyai latar belakang yang bercuaca baik menyebabkan anda secara tidak langsung pandai mengambil gambar seolah-olah seorang jurugambar profesional.

 

Tolak tepi kamera seperti DSLR. Siapa kata tidak mempunyai kamera canggih tidak boleh mengambil gambar-gambar menarik? Lepas ini, tempah saja tiket penerbangan tanpa perlu meminjam kamera teman kerana kamera biasa juga boleh meninggalkan seribu kenangan.