Ramai yang mahu menghabiskan cuti di hujung tahun ini dengan mencari lokasi percutian. Anda berkeinginan untuk bercuti tetapi bajet anda pula tidak mencukupi. Percayalah bahawa masih ada idea percutian yang tidak menelan banyak belanja tetapi mampu memberi seribu kepuasan!

 

Kelah tepi pantai

Singgah dan bermalam di resort, hotel atau chalet bukanlah pilihan yang bijak apabila anda mahu mengehadkan perbelanjaan. Idea berkelah di tepi pantai seperti pantai Port Dickson merupakan salah satu idea menarik. Anda boleh menyewa kanopi beserta kerusi dan meja untuk kemudahan anda sekeluarga dengan harga tidak melebihi RM50! Malah, anda juga boleh membawa khemah sendiri jika mahu bermalam di tepi pantai.

 

Lepak di rumah

Bercuti tidak bermakna anda wajib pergi jauh dari rumah. Berehat di rumah juga boleh dikategori sebagai percutian yang paling menjimatkan. Bercuti di rumah bukan saja menjimatkan tetapi tidak ada undang-undang yang perlu anda ikuti. Nah... Aktiviti menonton televisyen sambil 'barbeque' di luar rumah sememangnya percutian yang paling bebas dari sebarang masalah!

 

Berkeluarga di Homestay

Jika anda mahukan percutian yang menenangkan dan jauh dari kesibukan kota, tolak tepi senarai lokasi bukit tinggi kerana memilih Homestay adalah pilihan paling jimat. Kebanyakan Homestay meletakkan harga yang murah dan berbaloi jika anda pergi beramai-ramai. Malah, anda tidak perlu pergi jauh untuk mencari aktiviti kerana kebanyakan homestay menyediakan aktiviti untuk anda.

 

Pilih tarikh bukan musim

Percutian yang menjimatkan memerlukan perancangan yang teratur. Anda boleh mendapatkan lokasi percutian dengan harga yang murah jika anda melakukan tempahan awal dan memilih tarikh yang bukan musim orang ramai bercuti. Pihak penerbangan sentiasa memberi harga yang murah jika anda melakukan tempahan awal dan anda boleh mendapat harga yang murah jika anda merupakan ahli yang berdaftar.

 

Siapa kata tidak ada lokasi percutian yang menyeronokkan tanpa menelan wang belanja yang banyak? Percutian yang bermakna tidak semestinya anda perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak tetapi masa yang dihabiskan bersama keluarga adalah lebih bermakna  kerana tersimpan sejuta kenangan!