APA ITU TRILOGI? Trilogi ialah konsep membawa pakaian yang minimum ketika mengembara. Konsep ini sesuai diaplikasikan untuk mereka yang gemar mengembara secara backpacking. Ia berkait rapat dengan jumlah pakaian yang dibawa. Selain membantu meringankan beban yang dibawa anda juga mempunyai ruang yang lebih di dalam beg galas, sekali gus memudahkan pergerakan ketika berada di tempat orang.

 
TIGA

Tidak perlu bersusah payah memikirkan jumlah pakaian yang hendak dibawa. Cukup sekadar tiga helai baju dan tiga helai seluar. Tidak kisah, apa pun jua jenis baju dan seluar yang hendak dibawa asalkan kesemua jenis pakaian tersebut tidak melebihi daripada tiga helai. Yang penting, pakaian tersebut mestilah diperbuat daripada material nipis, mudah kering jika terkena air dan mempunyai fungsi yang pelbagai.


PRAKTIKAL

Nampak macam tidak praktikal kerana secara matematiknya konsep trilogi ini hanya sesuai untuk pengembaraan tidak lebih daripada dua hari ini. Namun, ia sebenarnya lebih daripada itu. Dengan konsep ini, anda boleh mengembara seberapa lama yang dimahukan asalkan sanggup memakai pakaian yang sama. Bukan menjadi hal kerana anda cuma seorang pengembara bukan penduduk tetap negara yang dikunjungi.


MEMBASUH

Bagaimana hendak memakai baju dalam jumlah yang minimum sewaktu mengembara dalam jangka waktu yang lama? Mudah sahaja, anda cuma perlu rajin membasuh. Contohnya, pakai satu, basuh satu dan jemur satu. Keringkannya di dalam bilik mandi ataupun balkoni hotel yang didiami. Sekarang ini, banyak hotel yang menyediakan perkhidmatan dobi layan diri. Jadi, membasuh bukan lagi satu masalah ketika mengembara.


TIP: Cukup dengan memakai seluar pendek, singlet ataupun baju-t yang sama ketika tidur jika anda mahu menjimatkan penggunaan pakaian.