Port Dickson sememangnya sudah lama terkenal sebagai destinasi percutian pantai pilihan yang tiada bermusim. Saban minggu, kebanyakan resort dan hotel di sini akan dipenuhi pengunjung dalam dan luar negara. Begitu juga Thistle Port Dickson yang tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan lengkap buat para  tetamunya. Pada pendapat penulis, buat mereka yang gemar bertandang ke Port Dickson, Thistle adalah resort inapan yang harus dipertimbangkan. 
 
Segalanya  Berada Di Bawah Satu Bumbung
 
       Tarikan resort ini sememangnya unik. Segala apa yang didambakan hati untuk  dinikmati dalam percutian bagaikan sudah tersedia di sini, hanya menanti  kunjungan dalam resort. Bercerita tentang suasana resort, Thistle Port Dickson dibina di atas kawasan seluas 90 ekar yang diselimuti panorama menghijau  padang golf sembilan lubang, dan berdiri gah menghadap tepian lautan membiru, sekaligus menawarkan keriangan berganda, dua dalam satu. Kombinasi berganda ini tidak hanya terhenti di sini di mana garapan mewah resort moden ini menjadikannya lokasi  ideal, sesuai untuk apa jua aktiviti,tidak kira untuk menjalankan  a aktiviti perniagaan, korporat, perkahwinan mahupun percutian romantis dan berbulan madu. 
 
       Sejurus check in, penulis amat menyukai suasana dan keindahan  dekorasi ke luar jendela membawa penulis untuk menikmati pemandangan luas resort. Di sini, jelas kelihatan pemandangan kolam renang dan rimbunan pokok-pokok spesis palma yang menghadap pantai. Penulis juga dapat menikmati hembusan bayu laut yang lembut memecahkan suasana hening ruang kamar  penginapan. Hampir terlena dibuatnya. Rata-rata,  penulis memuji kemudahan lengkap yang ditawarkan resort buat tetamunya seperti WiFi, TV LCD dan tab  mandi. Selain itu, penulis juga dikejutkan dengan kehadiran sebakul buah-buahan tempatan dan sekotak coklat. Sungguh manis! 
 
Tawaran Lengkap Tanpa Perlu Pergi Jauh 
 
       Selain menawarkan inapan ‘suite king’ buat sang penginap yang bercita rasa tinggi, resort ini turut menawarkan ‘presidential suite’ yang lengkap dengan jakuzzi.  andai anda inginkan penginapan yang lebih ‘budget friendly’, anda pasti tidak akan kecewa kerana Thistle Port Dickson turut menawarkan bilik standard dan duluxe. Buat memenuhi keperluan seminar dan mesyuarat, hotel ini dilengkapi dengan sembilan bilik mesyuarat yang dua darinya menghadap laut, serta dua buah ballroom yang mampu memuatkan 250 dan 110 orang pada satu-satu masa. Seusai selesai aktiviti perniagaan, ahli-ahli korporat yang bertumpu di Thistle dapat bermain golf, melepaskan stress kerja bersama klien sambil ditemani panorama indah lapangan yang menakjubkan, 15 meter di atas aras laut. “Kami tidak pernah lekang dengan  kedatangan tetamu.
 
       Pada hujung minggu, resort ini dipenuhi mereka yang menginginkan percutian santai, dan tetamu yang datang menginap  sambil menjalani seminar dan kursus di waktu-waktu lain,” ujar Hasnina Hafiz, Pengarah Jualan Dan Pemasaran Thistle Port Dickson. Buat mereka yang inginkan menghabiskan masa di tepi pantai, pastinya  bermain jet ski, berkayak dan mengharungi ombak menggunakan banana boat bersama teman-teman bakal menjadi pilihan. Tidak puas dengan laut, kolam renang resort ini pasti membuatkan anda puas berendam seharian di dalam air. Penulis sendiri sempat mencuba beberapa aktiviti yang ada di sini.  Antaranya ialah bermain jet ski. Merentasi dan meredahi air pantai Teluk Kemang menggunakan jet ski sememangnya merupakan satu keseronokan yang tidak dapat dilupakan penulis. 
 
 

5 INSPIRASI Thistle Port Dickson

 
1. Tiada yang sepertinya... jauh dan sunyi, privasi dan tanpa gangguan. Ruang ekslusif untuk para tetamu menghabiskan masa seharian di sini dengan selesa.  Sama ada untuk memenuhkan jadual harian penuh dengan aktiviti atau tidur lena di kamar, pilihan terletak di tangan anda. 
 
2. Apa yang ada di dalam menu...bukan satu, dua atau tiga, tetapi lima pilihan restoran yang membawa cita rasa tempatan dan antarabangsa ke meja makan. Fresh, Glass, Steps, Chinoise dan Cumulus pasti memenuhi selera dan keinginan anda. 
 
3. Kanak-kanak pasti ceria... bilik tayangan kartun beroperasi setiap  hari, andai bosan boleh mencuba untuk bermain permainan slot, membina istana pasir  mahupun menuruni papan gelonsor di kolam renang pasti mengukirkan senyuman buat mereka sepanjang masa. 
 
4. Sensasi terapi Santai Spa... kunjungan ke sini pasti tidak lengkap andai anda tidak mencuba sendiri perkhidmatan kelas pertama refleksologi dan urutan yang menyegarkan. Lengkap dengan sauna, bilik urutan perseorangan mahupun pasangan, ia pasti memenuhi kehendak anda. 
 
5. Khas buat mereka yang gemarkan cabaran... uji kekuatan dan ketahanan diri anda di SWAT Camp, salah satu tempat untuk melakukan aktiviti lasak dan e kstrim. Kemudian, jangan lupa untuk terbang melalui aktiviti ‘flying fox’  yang menjadi kemestian yang harus dicuba.
 
 
Bagaimana Ke Sini?
Thistle Port Dickson terletak di Teluk Kemang, Port Dickson. Jarak yang dianggarkan untuk ke sini adalah sebanyak 100 km dari Kuala  Lumpur. Perjalanan menaiki kereta menggunakan Lebuhraya PLUS adalah kira-kira sejam. Ambil susur keluar Port Dickson dan memandu ke arah selatan menuju ke arah Teluk Kemang (panduan ke arah Melaka) sejauh 16km. Untuk tempahan dan maklumat lanjut,
sila hubungi:
Thistle Port Dickson
T 606 648 2828
F 606 648 2868
E info@thistle.com.my
W www.thistle.com/asia