KLM Royal Dutch Airlines mempunyai cara tersendiri untuk memulangkan barang penumpang yang tertinggal dalam pesawat. Seekor anjing bijak akan menghidu bau barang yang tertinggal dan mula menjejaki pemiliknya. Hebat bukan?

 

Bagi menyakinkan masyarakat, KLM merakam video ketika anjing pintar ini menjalankan tanggungjawabnya untuk tontonan ramai. Anjing yang diberi nama Sherlock ini telah dilatih untuk menajamkan deria bau dan penglihatannya bagi memudahkannya mengecam pemilik barang yang tertinggal. Anjing spesies 'beagle' ini telah memulakan tugasnya sebagai pegawai 'lost and found' di Schiphol, Amsterdam.

 

Sherlock dipakaikan dengan pakaian seragam yang mempunyai banyak poket bagi memuatkan pelbagai barang yang tertinggal dalam pesawat. Keletahnya pasti mencuit hati orang ramai. Bahkan dalam video ini, seorang wanita mengajak Sherlock untuk bergambar dengannya manakala seorang kanak-kanak memeluknya kerana menemui anak patungnya yang hilang.

 

Walaubagaimana pun, ia bukanlah perkara sebenar yang berlaku. Menurut syarikat penerbangan ini, video tersebut adalah salah satu rangka pengiklanan untuk menunjukkan servis terbaik yang ditawarkan oleh mereka. Menurut syarikat pengiklanan yang dibayar oleh KLM Airlines, para pekerja 'lost and found' di syarikat tersebut seperti detektif. Para pekerja ini akan memulangkan barang yang tertinggal kepada pemiliknya sebelum mereka menyedari kehilangannya.

 

Ternyata, video tersebut menjadi viral dan menaikkan nama syarikat penerbangan itu. Agak-agaknya kalau di Malaysia, haiwan apa yang sesuai untuk bertugas seperti Sherlock ya?