Masalah jet lag sering dialami oleh sebahagian besar pelancong yang melakukan perjalanan ke luar negara di mana perbezaan waktu yang amat ketara di antara negara asal dengan negara yang ingin dituju. Akibatnya, pergeseran waktu tidur, waktu makan dan waktu berehat akan terus berubah sehingga badan kita tidak biasa dengan keadaan tersebut.

 

Tubuh terasa lemah, kepala terasa berat dan pening, hilang nafsu makan, mengantuk di siang hari dan berjaga di waktu malam. Gejala inilah yang disebut jet lag dan jika dibiarkan boleh berlarutan hingga beberapa hari. Biasanya, perbezaan zon waktu yang panjang seperti 11 jam dari waktu asal lebih berisiko untuk terkena jet lag.

 

Untuk mencegah atau sekurang-kurangnya meminimakan risiko terkena jet lag, kami ada beberapa tip yang boleh dicuba:

 

ATUR JAM MENGIKUT DESTINASI

Apabila anda menaiki pesawat, atur jam tangan anda mengikut zon waktu destinasi anda. Sesuaikan dengan jadual makan dan tidur dengan zon waktu yang baru. Sebagai contoh, apabila jam anda menunjukkan waktu tidur, cuba untuk tidur walaupun anda belum mengantuk. Jika anda tidak mengubah jam anda mengikut zon waktu destinasi yang dituju, aktiviti anda akan terganggu. Waktu siang yang sepatutnya anda keluar berjalan tetapi anda tidur pula. Apabila anda terjaga pada waktu malam dan ingin keluar berjalan, kebanyakan bangunan sudah banyak tutup.

 

PERBANYAKKAN CAIRAN DALAM TUBUH

Banyakkan meminum air putih sekurang-kurangnya dua liter setiap jam walaupun anda tidak merasa haus. Kelembapan udara yang rendah di dalam pesawat akan membuat tubuh kekurangan cecair. Adalah penting untuk menggantikan cairan dalam tubuh yang semakin berkurangan. Jangan lupa bawa botol kosong untuk diisi semula dari dispenser yang ada disediakan di dalam pesawat.

 

JAUHI KAFEIN DAN MAKANAN BERLEBIHAN

Elak mengambil minuman berkafein seperti kopi atau beralkohol sebelum penerbangan. Jika anda beranggapan kafein dapat membuatkan anda terjaga lebih lama, hakikatnya ia akan membuatkan anda sering bangun ketika mahu tidur. Akibatnya, ia akan mengurangkan jumlah jam tidur. Jika anda dihidang makanan, pilih menu tinggi protin kerana akan menstimulasi tubuh menjadi aktif. Menu tinggi karbohidrat pula akan menstimulasi tubuh untuk tidur.

 

AMBIL UDARA DAN BERSIAR-SIAR

Setelah sampai ke destinasi, cubalah keluar berjalan-jalan dengan menghabiskan waktu di bawah sinar matahari. Aktiviti ini dapat membantu tubuh anda menyesuaikan diri dengan waktu dan suasana baru.

 

Ramai juga yang beranggapan untuk memilih tiket penerbangan pada waktu malam supaya anda boleh tidur saja di dalam penerbangan berbanding penerbangan waktu siang. Sebenarnya, terpulang pada kekuatan mental dan fizikal anda. Yang pasti, anda tidak sepatutnya terlepas momen-momen indah ketika melancong. Jika pramugara dan pramugari boleh atasi jet lag, anda juga boleh!