Buat apa bazirkan wang untuk membayar lebihan berat beg sedangkan anda boleh gunakan ia untuk membeli barangan lain. Pengembara yang bijak tidak akan duduk atau pijak di atas beg bagi memadatkan barangan sekiranya beg tidak dapat ditutup. Ia tidak membawa perbezaan dalam 'kilo' yang ditimbang. Tetapi pengembara yang baik akan mengawal apa yang dibawanya.

Kita cepat cemas dan berpeluh-peluh saat timbang bagasi. Takut terlebih berat dan kena bayar lebih. Oleh itu untuk mengelak detik-detik cemas ini, ikuti tip yang kami sediakan.

1. Pilih Satu Warna
Pasti ramai yang tidak pernah terfikir akan membawa pakaian yang terdiri dari satu warna saja sebenarnya sangat membantu. Membawa pakaian yang terhad satu warna saja memudahkan anda mix and match tanpa perlu membawa pelbagai warna pakaian untuk dipadankan nanti. Elak membawa pakaian yang terdiri dari pelbagai warna semata-mata untuk padan sehingga membebankan beg.

2. Pakai Awal
Sekiranya destinasi yang dituju adalah musim sejuk, pakai siap-siap jaket tebal lagi berat itu. Anda akan dapat menjimatkan ruang asal jaket dengan barang lain yang lebih banyak. Tidak perlu menyimpan topi di dalam beg apabila anda boleh terus memakainya untuk jimat ruang.

3. Jumlah Penggunaan
Ketahui jumlah barangan yang dipakai mengikut jumlah hari. Misalnya, tiga pakaian dan dua seluar untuk percutian seminggu. Dua helai seluar merangkumi satu di dalam beg dan satu yang anda sedang pakai. Percayalah, baju yang anda beli di tempat percutian itu yang akan anda pakai nanti.

4. Basuh Pakaian
Jika anda mengembara lebih dari seminggu, lebih baik anda membasuh pakaian anda daripada membawa banyak pakaian. Lebih banyak anda bawa, lebih banyak pakaian kotor untuk dibawa pulang. Gunalah kesempatan dobi yang ada disediakan di kebanyakan hotel. Tidak ada siapa yang tahu anda memakai baju berulang kali.

5. Kecilkan Saiz
Elak membawa kelengkapan bilik air (toiletries) kerana kesemua hotel ada menyediakan kelengkapan ini. Apa yang anda perlu bawa adalah kelengkapan dandanan diri seperti sikat, losen, alat mekap dan lain-lain tetapi dengan syarat hanya bersaiz kecil. Jika anda tidak menjumpai produk bersaiz kecil, masukkan saja ke dalam plastik atau bekas kecil.

6. Teknik Gulung
Ruang bagasi anda boleh lagi dijimatkan apabila anda menggunakan teknik menggulung baju. Kaedah melipat baju seperti biasa boleh menyebabkan ruangan menjadi sempit. Gulung baju dan seluar anda sekecil yang boleh. Pilih baju nipis dan mudah kering.