Tidak sah rasanya jika kaki tidak menjejak bazar Ramadan apabila bazar yang dikatakan syurga makanan ini diadakan setahun  sekali. Jom lihat beberapa lokasi bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang paling ramai dan kerap dikunjungi biar pun sentiasa sesak!

 

Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam

Terletak berdekatan Stadium Melawati dan pasaraya Giant terbesar Shah Alam, bazar ini menempatkan banyak gerai sehingga menjadikan bazar ini bazar paling popular di kalangan penduduk sekitar Lembah Klang. Jika anda terbari-cari menu ayam golek, ayam percik atau kambing golek, bazar Ramadan seksyen 13 mungkin lokasi pilihan.

 

Bazar Ramadan Jalan TAR, Kuala Lumpur

Antara lokasi yang tidak pernah lekang pengunjung adalah jalan sekitar Jalan TAR, Jalan Masjid India dan Jalan Chow Kit. Hal ini mungkin kerana pengunjung juga dapat memilih dan membeli keperluan Aidilfitri yang lain selain menjadikan bazar ini sebagai lokasi terdekat memilih juadah.

 

Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur

Siapa yang tidak kenal bubur lambuk di Masjid Kampung Baru? Setiap tahun, bubur lambuk Kampung Baru tetap menjadi pilihan pengunjung biar pun perlu berbaris panjang untuk mendapatkannya. Jangan tidak percaya, ada pengunjung luar dari jauh sanggup turun ke sini semata-mata mahu menikmati bubur lambuk Kampung Baru.

 

Bazar Ramadan Taman Melawati, Kuala Lumpur

Jika anda berkunjung ke bazar ini, anda mungkin berpeluang untuk berjumpa dengan artis tempatan yang turut membuka gerai di sini. Khabarnya, bazar ini terkenal dengan Roti Boom, Dim Sum dan Ikan Bakar.

 

Bazar Ramadan Bangsar

Terletak bersebelahan dengan Masjid Abu Bakar As-Siddiq ini menjadi tumpuan untuk kebanyakan pengunjung yang baru balik kerja. Memandangkan terdapat banyak lokasi pejabat yang terdekat telah membuatkan bazar ini popular di kalangan pekerja. Oh ya, minuman seperti air katira boleh diperolehi di sini kerana air katira di sini memang sedap.

 

Kami yakin ada banyak lagi bazar Ramadan yang popular di sekitar kawasan anda. Apa yang penting, membeli tu biarlah beringat supaya tidak berlaku pembaziran. Buat peniaga pula, jagalah kebersihan dan jadilah mesra pelanggan kerana terdapat juga sebilangan pelancong yang mengambil kesempatan untuk menikmati juadah tempatan rakyat Malaysia!