Jika tahu tempatnya, mencari makanan halal tidak sukar di Sabah. Selain makanan berkualiti, harganya juga berpatutan. Entri kali ini mencadangkan lima restoran harus dikunjungi jika anda bercuti di Sabah.

 

Kedai Kopi Kak Tini

58, Ground Floor, Gaya Street Kota Kinabalu.

Menikmati secawan kopi O pekat bersama pisang goreng yang ranguppastinya menjadi persinggahan sempurna setelah puas menjelajah di sekitar destinasi menarik yang ada di Kota Kinabalu. Kedai Kopi Kak Tini juga terkenal dengan hidangan Nasi Kuning dan Soto yang enak. Dek kerana keenakannya, maka tidak hairanlah jika restoran ini pernah menjadi persinggahan beberapa orang kenamaan seperti Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

 

Restoran Fook Yuen

Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.

Mencari Dim Sum halal dan Roti Kahwin (Roti Bakar) buat sarapan pagi,maka kopitiam dengan garapan tradisional ini wajib dikunjungi. Restoran ini turut menyediakan seleksi pilihan sarapan pagi seperti bubur, mee goreng, wantan goreng serta variasi kuih-muih tradisional. Selain juadah yang menyelerakan ini, jangan lupa untuk mencuba minuman yang diberi nama ‘Tay C’ untuk dinikmati bersama Roti Kahwin.

 

Restoran Kak Nong

Harbour City, Kota Kinabalu, Sabah.

Salah satu hidangan istimewa yang harus dicuba adalah Nasi Ayam yang menjadi hidangan klasik bagi warga penduduk tempatan di sekitar Kota Kinabalu. Dek kerana sudah dikenali ramai, maka tidak hairanlah jika restoran ini sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung. Selain Nasi Ayam, terdapat juadah lain seperti Nasi Goreng, Soto Ikan, Kueh Teow Goreng dan beberapa sajian Western. Untuk pencuci mulut, kami cadangkan anda untuk memesan Curry Bun yang lembut dan sedap!

 

Nasi Ayam Singapura

Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah.

Restoran ini terletak di Tingkat Pertama Blok C, Kompleks Karamunsing di Jalan Tuaran. Merupakan rangkaian Restoran Nasi Ayam tertua di negeri Sabah, restoran ini telah lama mendapat tempat di hati pelancong yang bertandang ke Kota Kinabalu. Nasi Ayam yang dimasak secara panggang atau kukus yang disediakan bersama sos ‘resepi rahsia’ turun temurun ini pasti akan membuatkan anda kecur air liur.

 

Restoran Masakan Sedap

Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum bercerita mengenai keenakan masakan seafood yang ada di sini, pastikan Coconut Pudding menu pertama yang anda pesan andai berkesempatan ke sini kerana ianya sememangnya lain dari yang lain. Pencuci mulut ini disajkan di dalam sebiji kelapa dan rasanya benar-benar lazat apabila dinikmati (lembut seperti Tau Fu Fah). Untuk sajian makanan laut pula, jangan lupa untuk mencuba Butter Prawn, Ikan Talapia Steam Masak Teow Chew dan Soy Sauce Prawn. Oleh kerana restoran seafood yang halal agak terhad, maka pastikan restoran ini termasuk di dalam itinerari anda semasa berlibur di sana nanti.