Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi Homestay Desa Murni di Temerloh Pahang dan menghadiri program Seminar Hala Tuju Pelancongan Homestay Malaysia. Suasana desa yang tenang dan damai jelas terasa tatkala menjejakkan kaki ke Homestay Desa Murni. Mana tidaknya, dipelopori oleh Pengerusi  Persatuan Homestay Malaysia, Dato’ Haji Sahariman Hamdan, program homestay di sini jelas  tampak berbeza dengan prasarana serba sempurna. Tahniah saya ucapkan. 
 
       Saya percaya usaha untuk membangunkan sesebuah program tidaklah semudah seperti yang disangkakan. Ada onak dan ranjau yang perlu ditempuhi. Namun disebalik cabaran dan rintangan itulah tersembunyinya rahmat dan nikmat yang amat bersar ertinya. Begitu juga dengan produk pelancongan homestay yang  kian mendapat tempat dalam kalangan pelancong di negara ini. Saya percaya dengan pelbagai dugaan yang ditempuhi selama ini, industri homestay yang kita ada
kini adalah antara model program homestay yang terbaik di dunia dan menjadi ikutan negara-negara lain. Kesempatan bertemu dengan Dato’ Haji Sahariman  banyak merungkai persoalan tentang program Homestay yang membelenggu fikiran saya.
 
       Ramai yang mengeluh bila mana program homestay seolah-olah hilang  identiti dan lari daripada hala tuju sebenarnya. Rasa keluh kesah kian memuncak tatkala timbul pula produkproduk pelancongan baru seperti Kampung Stay dan Holiday Home yang turut menggugat program Homestay. Saya turut mengajukan persoalan tersebut kepada beliau, namun dengan tenang, Dato’ Haji Sahariman sebagai orang lama dalam industri Homestay menjawab “I Don’t Care!” yang bermaksud dia tidak peduli apa ‘orang lain’ kata. Apa yang penting baginya ialah  industri homestay perlu diberi nafas baru agar ianya sentiasa subur dan memberikan manfaat kepada setiap pengusaha homestay. Tambahnya lagi, pengusaha homestay harus berani melakukan transformasi dalam program homestay yang diadakan. Tidak hanya menawarkan pengalaman inap desa sahaja, pengusaha homestay juga harus tampil dengan idea –idea baru bagaimana untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke homestay.
 
       Selain kemudahan asas yang sempurna  dan selesa, pengusaha homestay juga harus lebih kreatif dalam mewujudkan pakej-pakej homestay dan dalam masa yang sama bijak menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan seperti agensi pelancongan serta media massa. Saya percaya industri pelancongan homestay mempunyai potensi yang cukup besar dalam menjana pertumbuhan industri desa dan industri pelancongan negara. Setidak-tidaknya dengan adanya produk pelancongan homestay ini, masyarakat desa bakal menerima sumber pendapatan tambahan sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat desa. Dalam hal ini, saya menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam industri homestay dapat sama-sama berganding bahu dan bersatu suara dalam membangunkan industri pelancongan homestay  Negara. Jom berubah sebelum rebah!