Sudah lama hasrat untuk merasai percutian yang mempunyai kelainan dari kebiasaan.

Bermula di hujung jari, penulis mula mencari maklumat di internet termasuk Facebook untuk mencari tempat percutian yang benar-benar lari dari rutin harian.

Ketika menekan butang pencarian di Facebook, pakej percutian atas rumah bot, di Hutan Royal Belum, Grik, Perak, yang ditawarkan Caravan Serai Holiday di fanpage Royal Belum Houseboat, menarik perhatian penulis apatah lagi melihat konsep kekeluargaan yang diterapkan meskipun pelanggan tidak datang dari satu kumpulan sama.

Bermula perjalanan daripada Stesen Bas  Tasik Selatan, di ibu negara, di mana sebuah bas disediakan khas untuk perjalana menuju ke Tasik Banding, terletak di Grik, Perak.

Pakej 2 hari satu malam, nampaknya begitu memadai dan berbaloi serta memberi seribu satu kenangan yang sukar dilupakan oleh seorang anak kota seperti penulis.

 

Rumah bot jadi penghubung

Melangkah masuk ke 'ruangan tamunya', suasana begitu santai. Tanpa pendingin hawa, kedinginan masih terasa. Tiada perabot, hanya tikar untuk alas duduk di lantai yang asasnya kayu.

Menjenguk ke luar, pemandangan begitu luas. Kehijauan hutan disekelilingnya, dan aliran air di bawahnya cukup mendamaikan.

Masa berjalan, sedikitpun tidak rasa bosan malah semakin teruja apabila pemandangan tidak lagi sama seperti mula-mula penulis melangkah masuk tadi.

Ini bukan pengalaman mistik, jauh sekali penulis sedang bermimpi. Tapi itulah keadaan yang nyata menjadi satu kelainan buat penulis menghabiskan cuti hujung minggu kali ini.

Apa yang membuatkan pemandangan penulis berbeza walaupun berdiri di atas paksi sama, adalah kerana penginapan cuti hujung minggu kali ini bukanlah di resort, tapi di atas rumah bot!

Sesuatu yang mungkin tidak pernah terlintas oleh kita semua ketika merencanakan cuti pada hujung minggu tidak kira bersama keluarga mahupun rakan.

Rumah bot ini menjadi penghubung buat penulis bersama kira-kira 30 individu lain, menikmati alam semula jadi di Royal Belum yang diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak pada 17 April 2007.

Ini kerana, untuk menyingkap rahsia alam yang masih tersimpan rapi di sini, hanya pengangkutan air sahaja boleh membawa pelancong ke Royal Belum.

Laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding iaitu lokasi terakhir sebelum ekspedisi seterusnya mengguna bot laju menyusuri Tasik Temengor menuju taman negeri ini.

 

Satu bot seperti satu keluarga

Apa yang menariknya dalam trip kali ini, penulis hanya ditemani seorang rakan, namun semua peserta yang datang dari pelbagai latar belakang benar-benar membuatkan kami merasa seperti satu keluarga.

Konsep masak bersama-sama, makan beramai-ramai dan melakukan pelbagai aktiviti bersama tanpa ada jurang sesama sendiri membuatkan percutian singkat ini begitu terisi.

Meskipun dalam keadaan serba sederhana, semua peserta dalam satu bot begitu teruja malah rata-rata merupakan pengalaman pertama menikmati percutian yang berbeza.

Antara aktiviti bersama, kami bermandi-manda di Tasik Banding, bermain rakit, karaoke, bermain 'carrom' dan BBQ.

 

Teruja dengan Air Terjun Sg Kooi

Trip ini tentu saja tidak lengkap tanpa penerokaan hutannya.

Perjalanan hampir setengah jam 'jungle tracking' menjadi satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Walaupun agak penat dan dengan langkah yang perlahan, penulis tetap meneruskan perjalanan demi merasakan sendiri pengalaman menuju ke Air Terjun Sungai Kooi yang digambarkan begitu indah.

Ia ternyata berbaloi. Sebaik sahaja tiba, pandangan penulis terhenti ketika mendongak melihat keindahan sang pencipta.

Air yang mengalir dari atas begitu indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata tanpa merasainya sendiri.

Perjalanan kami sepatutnya diteruskan bagi menjejaki bunga rafflesia namun agak kurang bernasib baik kerana dikatakan bukan musim.

Antara lain, kami turut dibawa ke Air Terjun Sungai Ruok, yang terkenal dengan ikan kelah.

Kedinginan airnya seakan masih boleh dirasai walaupun percutian telah tamat.

Kami bermandi-manda dan berpeluang memberi makan ikan-ikan kelah yang turut sama meraikan kedatangan kami di 'kediaman' mereka itu.

 

Menyantuni perkampungan Orang Asli

Antara pengalaman menarik lain apabila penulis bersama peserta lain turut dibawa melawat ke perkampungan orang asli kaum jahai, yang menjadi penghuni asal Hutan Royal Belum.

Jika menyertai trip ini, dinasihatkan agar membawa buah tangan untuk diberikan kepada beberapa keluarga yang tinggal di situ.

Pakaian terpakai, makanan ringan mahupun buah-buahan tentunya mampu membuatkan orang asli di situ tersenyum.

Mereka agak pemalu namun tidak kekok melayan pertanyaan dan berborak dengan kami para peserta.

Ia tentunya memberi satu lagi kenangan buat kami apabila dapat melihat sendiri kehidupan orang asli yang begitu jauh berbeza dengan kehidupan anak-anak kota, bahkan bandar-bandar kecil negeri lain.

Berakhirnya percutian 2 hari 1 malam yang begitu indah. Meskipun masing-masing keletiham, Kami pulang dengan senyum dan berjanji untuk kembali lagi kerana masih banyak rahsia Hutan Royal Belum yang perlu disingkap.