Jika anda memilih destinasi Asia Tenggara sebagai tempat percutian, mengapa tidak ke negara Brunei Darussalam? Abaikan momokan yang mengatakan negara ini membosankan kerana selain terdapat banyak keunikan yang perlu anda ketahui di samping suasananya yang tenang dan rakyatnya yang peramah.

 

Brunei di dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Jika anda menjejak kaki ke Brunei, anda mungkin bersetuju dengan tajuk di atas kerana aura ketenangan, rakyatnya yang peramah, hidup bersederhana dan persekitaran yang bersih menjadikan pilihan percutian kali ini lebih menyenangkan.

 

Apabila anda bersiar-siar di Bandar Seri Begawan, sebenarnya tidak sukar untuk mencari hotel berdekatan. Pilihan penginapan seperti The Empire Hotel & Country Club, Radisson Hotel, Palm Garden Hotel, The Brunei Hotel, Jubilee Hotel, Orchid Garden Hotel dan Terrace Hotel adalah penginapan yang mengenakan harga berpatutan bermula dari purata harga RM238 setiap malam.

 

Tarikan Brunei semestinya Masjid Omar Ali Saifuddien dan perkampungan Kampung Ayer. Masjid ini diiktiraf sebagi masjid terunik di Asia Pasifik selain menjadi mercu tanda Brunei. Masjid yang menjadi tumpuan ini dibina di dalam sebuah lagun di tepi Sungai Brunei. Menara dibuat daripada marmar manakala kubah utama bersalut emas. Kampung Ayer pula mempunyai tarikan sendiri apabila terdapat rumah terapung milik penduduk yang sangat teratur, terancang dan bersih.

 

Mempunyai pendudukhanya berjumlah kira-kira 408.786, tidak bererti masyaraktnya tidak maju. Anda tidak akan bosan apabila berkunjung ke Brunei kerana antara tarikan lain adalah Jerudong Park, Muzium Royal Regalia, Istana Nurul Iman dan beberapa pusat beli belah seperti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Hua Ho Department Store dan The Mall.

 

Pembinaan Jerudong Park merupakan taman tema hiburan terbesar dan termahal di Asia Tenggara kerana pembinaan dan pembiayaan dilakukan oleh kerajaan Brunei yang bernilai $1 bilion. Mendiang penyanyi yang terkenal dengan gelaran King of Pop, Michael Jackson dan Whitney Houstan pernah membuat persembahan di sini!

 

Percutian ke Brunei tidak akan lengkap jika anda tidak singgah di Pasar Gadong. Di sinilah anda boleh mengenali dan merasai sendiri hidangan tradisi masyarakat Brunei seperti Nasi Katok, Selurut, Penyaram dan banyak lagi. Kami yakin, bermalam di Brunei sudah mampu membuat percutian anda mendamaikan kerana kurang sesak dan penduduknya yang peramah.

 

Jangan terkejut jika anda mendapati harga coklat di sini lebih murah kerana tidak dikenakan cukai. Begitu juga dengan cukai kenderaan. Sana sini anda boleh melihat kereta mewah, besar malah tidak kelihatan motosikal di sini. Menariknya, tidak ada bangunan yang lebih tinggi mengatasi kubah masjid kelihatan. Tulisan jawi yang merata-rata ini membuatkan anda teruja melihat restoren makanan segar seperti McDonalds di dalam tulisan jawi!

 

Jika anda mahu percutian yang mendamaikan dan selamat, Brunei adalah pilihan tepat kerana Brunei hanya 'havoc' pada siangnya tetapi menjelang lewat malam sudah sunyi dari sebarang urusan hatta hiburan.

 

kredit foto - elvyna.blogspot.com, egansaltitudeadventures, 4travel