Bagi anda yang berada di Lembah Klang, lokasi Sekinchan dan Homestay Sg Haji Dorani merupakan pilihan tepat jika mahu menikmati percutian yang penuh segar dan merasa kehidupan kampung tanpa perlu pergi jauh.

 

Memandangkan tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2014, Tourism Selangor Sdn Bhd telah mengadakan satu program bersama media di Sabak Bernam bagi menaikkan nama negeri Selangor. Ia dianggap sebagai satu inisiatif mempromosi produk pelancongan di negeri Selangor selain mengeratkan hubungan pihak Tourism Selangor bersama pihak media.

 

Jarak dari Shah Alam ke Sabak Bernam adalah 90 km manakala jarak dari Kuala Lumpur ke Sabak Bernam adalah 130 km. Perjalanan penulis menaiki bas beramai-ramai ditemani dengan penerangan lanjut oleh Adun Sekinchan, YB Tuan Ng Suee Lim.

 

PERKAMPUNGAN NELAYAN

Persinggahan pertama adalah di Pantai Redang. Ramai tidak menyangka terdapat pantai di situ kerana lokasi yang agak tersorok namun ia sudah menjadi lokasi pengunjung melihat matahari terbenam. Jika anda berkunjung ke Pantai Redang, terdapat sebuah resort iaitu Sekin Hotel & Resort yang diusahakan oleh usahawan Melayu sebagai menjadi pusat rehat.

 

Tidak jauh dari situ terdapat satu jeti iaitu Jeti Sg Labu, Bagan Sekinchan yang menjadi pusat pendaratan nelayan memunggah hasil-hasil tangkapan. Bau hanyir di jeti tersebut tidaklah teruk seperti yang disangka kerana hanyir yang dimaksudkan adalah bau hasil tangkapan segar para nelayan! Lokasi Sekinchan kini sudah banyak berubah. Terdapat satu-satunya bangunan pencakar langit didirikan iaitu pangsapuri perkhidmatan setinggi 18 tingkat yang masih di dalam pembinaan.

 

KILANG BERAS RAKYAT SEKINCHAN

Lokasi seterusnya adalah melawat kilang beras yang terletak di Jalan Tali Air 5, Ban 2, Sekinchan. Setibanya di sana, kami dipaparkan dokumentari pendek sejarah Sekinchan dan aktiviti pesawah dari zaman dahulu sehingga sekarang yang sememangnya banyak perubahan dan lebih moden.

 

Di sini, anda boleh melihat cara pemprosesan beras dan membeli beras istimewa yang dikenali sebagai beras mutiara. Beras sekinchan hanya dijual di pasaraya Speedmart atau anda boleh membeli sendiri dengan datang ke kilang beras Sekinchan. Menariknya, di kilang ini juga terdapat muzium padi yang memaparkan beberapa peralatan dan beberapa replika mesin yang pernah digunakan oleh pesawah. Meskipun kedatangan kami sudah tiba musim menuai, tetapi sawah yang menghijau tetap memukau!

 

MAKANAN EKSOTIK

Untuk makan tengahari, kami singgah di Restoren Lembah Bernam. Bukan semua restoren makanan kampung ada menyediakan lauk eksotik seperti Restoren Lembah Bernam. Kami dijamu makanan eksotik seperti daging rusa masak kari, rendang daging landak dan ikan baung masak tempoyak.

 

Sabak Bernam juga terkenal dengan ladang tanaman mangga. Meskipun masa suntuk dan tidak mengizinkan untuk singgah di ladang mangga namun terdapat kedai kecil yang menjual banyak buah termasuk jambu, ciku, jagung, mangga biasa dan paling terkenal adalah mangga Taiwan kerana saiznya yang besar.

 

HOMESTAY SG HAJI DORANI

Homestay ini merupakan salah satu Homestay yang terkenal di Malaysia. Sebut saja Homestay Sg Hj Dorani, mereka tidak pernah putus menerima kunjungan orang ramai baik dalam Malaysia atau luar negara. Menurut Wak yang menjaga Homestay ini, terdapat pengunjung dari Jepun, Singapura, Afrika Selatan, Palestin, Amerika dan banyak lagi pernah menetap di Homestay ini. Tujuan homestay ini ditubuhkan adalah untuk memperkenalkan destinasi agro-pelancongan dan eko-pelancongan di mana ia memaparkan kebudayaan dan adat resam orang Melayu secara semulajadi. Malah ia merupakan satu cara menggalakkan budaya melancong ke destinasi Balik Kampung atau 'Back to nature'.

 

Antara aktiviti menarik yang kami lakukan di Homestay Sg Hj Dorani adalah mencanting batik, membuat bahulu dan menggagau ikan. Menggagau merupakan aktiviti menangkap ikan menggunakan tangan yang biasa dilakukan oleh penduduk kampung selepas padi di tuai. Cuti hujung tahun ini mungkin lebih bernilai apabila anda berkunjung ke Sekinchan dan Homestay Sg Hj Dorani. Kami percaya, anda tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana harga buah tangan dan makanan dari perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memang sangat murah dan berbaloi!