Sesiapa saja pasti menyukai pantai.  Maklum sajalah, pantai merupakan lokasi yang paling indah dan sesuai untuk mendapatkan ketenangan. Namun, perlu diingat tidak semua pantai yang berair biru dan berpasir putih selamat untuk disinggah. Kenapa? Lihat lima pantai yang tidak patut menjadi tempat bermandi-manda!

 

Pantai Hanakapiai, Hawaii

Pantai ini mungkin kelihatan seperti sebuah tempat riadah yang menyeronokkan apabila mempunyai pasir yang halus dan laut yang membiru. Tetapi, siapa sangka ombaknya pernah meragut banyak nyawa. Sesiapa yang cuba berenang atau tunjuk handal, ia seolah-olah 'mencabar' kekuatan ombak dan arus pantai Hanakapiai.

 

Pulau Fraser, Australia

Jika anda memang memasang impian untuk berenang bersama-sama ikan yu yang buas dan obor-obor yang beracun, bolehlah singgah di perairan yang mengelilingi Pulau Fraser di sebelah tenggara Queensland ini. Binatang berbahaya ini bukan saja boleh ditemui di dalam laut tetapi juga di darat. Terdapat labah-labah beracun dan dingo (binatang seperti anjing dan serigala) khabarnya sering menyerang manusia apabila berada di darat.

 

Praia de Boa Viegem, Brazil

Setiap tahun, pantai di Kota Recife yang terletak di Brazil ini menarik ramai pelancong untuk berjemur kerana dikatakan selamat dari serangan ikan yu. Namun, sejak tahun 1992, dikatakan sebanyak 50 ekor serangan ikan yu berlaku sehingga menyebabkan ramai kematian. Pun begitu, masih ada yang berani bermandi di pantai ini.

 

Pantai Pulau Shired, Florida

Pantai yang terletak di Florida, Amerika Syarikat ini merupakan pantai yang paling tercemar. Sekiranya anda merancang mahu bercuti dan bermandian di pantai ini, anda akan mengalami kegatalan kulit yang melampau, meningitis, hepatitis dan masalah perut. Ia bukanlah lokasi pantai yang sesuai untuk bersiar melainkan jika anda mahu mencari penyakit.

 

Pantai Amazon, Amerika Selatan

Jangan sesekali cuba berenang di pantai ini ketika musim panas kerana anda menjadikan diri anda sebagai umpan kepada ikan pirana yang sentiasa kelaparan. Pantai ini merupakan habitat haiwan pemangsa yang berbahaya seperti pirana, anakonda dan belut. Biarpun anda akan merasa geram melihat ikan pirana yang bergerak secara kumpulan ini, ada baiknya anda jauhi pantai ini.

 

Di dunia ini, tidak semua pantai selamat untuk dijadikan lokasi percutian atau aktiviti beriadah. Selain lima pantai dinyatakan, terdapat banyak pantai lain yang berbahaya bukan hanya kerana serangan hidupan liar tetapi kerana faktor buatan manusia sendiri.

 

Misalnya, pantai yang tercemar akibat perbuatan manusia semestinya pantai yang boleh mengancam nyawa kita. Ada sesiapa yang mahu mandi bersama sampah-sarap, sisa toksik dan minyak?