Sebut sahaja Selangor Darul Ehsan terdapat pelbagai tempat menarik boleh dikunjungi terutama untuk membeli belah kerana negeri ini seperti tempat pusat perlabuhan yang mempunyai pelbagai jenama dan tempat yang menarik. Tetapi apabila sebut untuk bercuti dan beriadah di sini mungkin segelintir dari kamu tidak tahu apa yang boleh dilakukan di Selangor.

Yelah, nak dapatkan suasana seperti hutan atau nyaman seperti kampung agak susah sedikit. Tetapi kali ini, Team Libur akan cuba kongsikan 5 resort yang kamu mampu untuk duduki yang disertakan tempat menarik untuk melakukan aktiviti. Jom kita lihat dimanakah resort ini terletak.

1. RumahKebun, Hulu Langat, Selangor

 


Ia dikelilingi bukit bukau dan pemandangan hijau fauna, dan tempat ini amat sesuai untuk beristirehat bersama keluarga atau teman. Air kolam renang disini menggunakan air sungai dan terdapat sungai di situ ialah sungai Semungkis.

Resort ini yang memiliki 3 bilik tidur dan 3 bilik air, boleh memuatkan sehingga 16 orang. Terdapat rumah pokok (treehouse) di sekitar kawasan resort ini dan boleh kamu lawati.

Alamat: Kg Sg Semungkis (Batu 14), 43100 Hulu Langat, Selangor, Malaysia

2. Kuang Kampung Retreat, Sungai Buloh

 


Dengan keluasan 3,350 kaki persegi, rumah ini boleh memuatkan 7 orang tetamu yang disertakan dengan kolam renang di tengah rumah. Dengan keluasan tanah sebesar 2 ekar, kamu boleh mengadakan majlis perkahwinan dalam taman, mesyuarat korporat, sambutan hari jadi dan ulang tahun, serta perjumpaan keluarga dan rakan-rakan di sini. Pit BBQ juga disediakan pada harga RM100 sehari.

Alamat: Lorong Orkid, Kuang, 47000 Sungai Buloh, KL, Malaysia

3. Kepyok, Beranang

 


Kepyok terletak di Beranang yang memiliki seni bina yang menarik apabila menggunakan batu-bata merah dan batu serta hiasan jubin Terracotta semulajadi serta kayu jati. Ia merupakan di antara resort persendirian dengan rekaan terbaik apabila mempunyai 3 binaan (ruang) seperti ruang tamu, ruang makan, dan ruang dapur untuk dikongsikan bersama tetamu.

Dua lagi binaan menempatkan dua buah chalet. Setiap chalet mampu menampung 4 orang tetamu. Kolam renang bersaiz 5 meter x 13 meter pula dihiasi jubin Lampan yang bersinar apabila disinari cahaya matahari. Pokok-pokok menghijau, bunga-bungaan, tanaman, kolam ikan dan haiwan belaan menghiasi resort yang cukup cantik ini.

Terletak berhampiran Bukit Broga, dan pasti akan memukau kamu dengan kecantikan kawasan ini.

Alamat: Kg. Kuala Pajam, Beranang

4. Sally’s Cottage, Banting

 


Ia terletak berhampiran dengan Pantai Morib, kamu boleh bawa keluarga atau teman untuk mandi-manda di pantai dan menikmati ikan bakar di kawasan berhampiran. Bukit Jugra, Jeti Nelayan Kelanang, Pulau Carey, Pasar Kampuchea dan kilang kerepek Kampung Sungai Lang adalah sebahagian daripada tarikan pelancongan yang ada di sekitar cottage ini.

Sally’s Cottage dapat memuatkan 6 hingga 10 orang.

Alamat: Lot 251 Lorong Bambu, Jalan Tanah Raja, Kampung Sungai Buaya 42700 Banting, Selangor.

5. Bee River Home, Hulu Langat

 


Terdapat dua buah rumah disediakan oleh pemilik, iaitu Bee dan Bee2 River Home.Kedua-dua buah rumah ini dikelilingi alam semulajadi. Bukit-bukau dan hutan menghiasi pemandangan, di samping bunyi air sungai mengalir yang menenangkan. Hanya 40 minit dari Pusat Bandar Kuala Lumpur, anda akan ditemani oleh ayam, itik dan kambing.

Bermandi-manda di kolam renang, memancing di sungai, berpiknik, beri haiwan makan, menikmati buah-buahan yang boleh dibeli daripada gerai tepi jalan semasa musim buah, atau hanya berehat di samping keluarga adalah di antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini.

Bee River Home dapat memuatkan 9 orang tetamu manakala Bee2 River Home pula dapat memuatkan 6 orang tetamu.

Alamat: Hulu Langat, Selangor, Malaysia