Tinggal beberapa hari lagi kita bakal menyambut bulan puasa. Sudah pasti ada ramai yang memilih bulan ramadan sebagai bulan untuk terus mengembara. Bagi mereka yang ingin mengembara ke negara-negara luar yang juga mempunyai populasi rakyat beragama Islam tinggi seperti di Indonesia, Egypt, Arab, Turki dan Morocco, ada beberapa panduan yang mesti diikuti. Mengembara di bulan ramadan pasti sedikit berbeza dan ini yang anda perlu tahu.

 

1. MAKLUMAT PERLU TAHU

Jika anda bukan beragama Islam, anda perlu tahu bahawa bulan ramadan merupakan bulan di mana semua rakyat beragama Islam di seluruh dunia menahan diri dari makan, minum, merokok, bersembang kosong dan beberapa perkara terlarang bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Setelah terbenam matahari, umat Islam akan berbuka puasa seperti makan malam. Diikuti hidangan sahur iaitu hidangan sebelum matahari mula naik dan puasa semula seperti biasa. Oleh demikian, elak melakukan perkara-perkara yang mendatangkan larangan buat penduduk tempatan seperti makan di tempat terbuka.

 

2. PERANCANGAN MASA

Kebanyakan pusat perniagaan akan mengubah waktu bekerja dan mempunyai kakitangan yang terhad. Kami merasakan lebih baik anda tempah penginapan, pengangkutan dan program lawatan menerusi internet atau telefon sebelum anda tiba di destinasi yang dituju. Ini untuk memastikan keperluan anda dipenuhi. Memandangkan banyak restoren-restoren ditutup ketika bulan puasa, jangan lupa sediakan siap-siap bekalan makanan anda atau tempah restoren yang dibuka khas untuk pelancong.

 

3. KUMPUL TENAGA SECUKUPNYA

Anda mungkin akan berjalan jauh untuk melihat keindahan negara lain. Pastikan anda mempunyai tenaga yang mencukupi ketika sedang bercuti. Anda perlu memastikan anda mengambil makanan bertenaga ketika sahur. Misalnya, buah kurma dan bar tenaga yang mengandungi kandungan protin tinggi seperti coklat, kekacang dan biskut. Namun, kami merasakan masalah keletihan tidak akan timbul kerana bercuti di negara orang sudah cukup buat anda teruja.

 

4. JIMAT WANG DAN MASA

Jika anda kesuntukan masa untuk melawat tempat-tempat menarik, anda boleh membawa sekali bekalan tatkala sedang berjalan. Bekalan seperti pakaian bersih untuk menunaikan solat mampu membantu anda menyingkatkan masa tanpa perlu berulang-alik ke pusat penginapan yang jauh untuk menukar pakaian bersih dan solat. Anda boleh singgah di mana-mana masjid. Jika anda mahu jimat wang, usah berhenti di restoren untuk berbuka. Cukup memadai anda bekal makanan berbentuk bar atau membeli beberapa makanan yang di jual di bazar-bazar mereka.

 

5. BAWA UBAT-UBATAN

Jika negara yang anda lawati sedang mengalami musim panas yang melampau, jangan lupa membawa keperluan lain seperti losen untuk melindungi kulit. Kami ada tip terbaik buat anda di mana anda perlu membawa air mineral atau air penyembur wajah yang khas untuk membasahi dan melembapkan wajah anda. Sekurang-kurangnya, wajah anda masih segar walaupun berpuasa ketika merakam gambar sebagai kenangan! Pertukaran cuaca mungkin juga akan menyebabkan anda demam. Sediakan bekalan ubat untuk kemudahan anda.

 

Siapa kata bercuti di bulan puasa tidak menarik? Inilah masanya untuk anda timba pengalaman menunaikan solat terawih di negara orang. Anda juga boleh melihat hidangan makanan mereka ketika berbuka. Bagi anda yang bukan Islam, panduan ini serba sedikit membantu anda bersiap-sedia di negara-negara yang mempunyai penduduk Islam teramai dan tidak mendatangkan masalah buat anda nanti. Selamat berlibur!