Cerita ini diambil dan diolah semula untuk pendaki yang ingin mendaki gunung diseluruh dunia. Semoga dengan cerita ini dapat membantu dalam melaksanakan ekpidisi atau cabaran tersebut. Teruskan bersama Libur!       

    Percutian dua minggu kami ke negara Ultraman ini akan berakhir pada 26 Jun. Menyedari akan tarikh yang hampir dengan musim rasmi, kami membuat perancangan rapi. Peluang ini terlalu hebat untuk dilepaskan. Tiada yang lebih ‘cool’ untuk seorang pencinta aktiviti luar yang sedang bercuti di Jepun selain  daripada menyaksikan matahari terbit digunung tertinggi di negara matahari terbit.  Dari stesen Minatomirai kami ke Yokohama, bertukar trek di Hachioji, terus
ke Otsuki dan akhirnya sampai ke Fuji Station di daerah Kawaguchiko. Dari situ, kami menaiki ‘bas mendaki’ (climbing bus) ke Fuji 5th Station. Keseluruhan perjalanan mengambil masa hampir 6 jam.

       Di Fuji 5th Station kami membuat persiapan mendaki, menyalin pakaian,  mengisi perut dengan bekalan yang dibawa, dan acara wajib sebelum setiap pendakian; membuat senaman regangan, berdoa memohon keselamatan dan merakam foto kenangan. 3.30 petang, kami  memulakan  langkah dengan lafaz bismillah. Setengah jam pertama kami melalui  trek yang berbatu kasar, batu gunung berapi yang berwarna hitam. Keadaan batu
yang tidak padat menyebabkan kami cepat  penat. “Batu jerlus”, kami bercanda. Selepas setengah jam, kami sampai ke Stesen ke-6, seperti yang tertulis di dalam Peta Panduan Mendaki.  


MEMILIH ‘JALAN YANG BENAR’

       Satu jam berikutnya merupakan pendakian yang mencemaskan. Keadaan kabus sangat tebal sehinggakan jika seorang dari kami berjarak sepuluh langkah pun, bayangnya sudah tidak kelihatan. Kami berjalan rapat diantara satu sama lain, tidak terlihat apa yang ada di hadapan,  di belakang, kiri atau kanan. Lebih mencemaskan apabila kami tidak berselisih dengan seorang pendaki pun, samada yang ingin naik mahupun turun. Di dalam hati tidak berhenti berdoa. Paling mencemaskan apabila terdapat dua cabang jalan yang tiada papan tanda.  

       Kabus semakin tebal, keadaan semakin gelap, kami mula lemas. Senyap. Tiada siapa  yang berani melontarkan cadangan mengikut gerak hati tentang jalan mana yang harus dipilih. Keputusan harus dibuat. Di kedua-dua jalan ada kesan tapak kasut. Dengan bermacam doa, saya memilih laluan sebelah kanan, berbekalkan pesanan kepada tiga lagi rakan, “jangan kemanamana, tunggu sehingga saya balik, saya mahu me’recce’ laluan”. Mujurlah laluan itu tidak jauh sebelum menemui jalan mati,  sebuah bukit yang tidak boleh didaki. Kami meneruskan perjalanan mengikut laluan yang satu lagi. Selang tidak berapa  lama, salah seorang dari kami terdengar suara orang bercakap-cakap.

       Pada altitud tinggi, dalam keadaan oksigen yang semakin menipis dan keletihan yang berganda, “halusinasi” mungkin adalah jawapannya. Kami ketawa kecil, tak berdaya untuk mengusik dan gelak besar.  Kemudian kami melihat lembaga hitam, semakin lama semakin mendekat. Ya Allah, syukur! Lembaga itu adalah manusia! Sekumpulan enam orang Jepun sedang berjalan turun. Ternyata mereka  juga terkejut melihat kami, empat orang perempuan yang masih mendaki pada pukul 5.30 petang di dalam cuaca buruk. Dalam kesusahan berbahasa Inggeris,  mereka bertanyakan pelbagai soalan kepada kami seperti dimana kami mahu  menginap, bahan makanan dan kelengkapan pakaian menghadapi malam yang sangat sejuk.  Rupa-rupanya mereka baru turun daristesen ke-8, Toyokan Inn di  tempat kami  mahu menginap. Daripada mereka kami mendapat tahu untuk sampai ke puncak  adalah suatu yang mustahil disebabkan salji yang masih tebal.


       Berjumpa dengan mereka memberi kelegaan kepada kami bahawa kami berada di trek laluan yang betul. Seterusnya kami melalui trek zig-zag dengan  bongkah-bongkah batu yang diletak dalam sangkar besi. Disini kami terserempak pula dengan dua orang lagi pemuda Jepun, juga dalam perjalanan turun, turut menyuarakan keprihatinan yang sama. Menurut mereka, dalam minggu ini sahaja, sudah enam orang yang meninggal dunia akibat tergelincir. Mereka meninggalkan kami dengan ucapan “ganbatte!”. “Ya Allah, tengok tu!”, jerit salah seorang dari kami yang berada paling hadapan. Serentak kami mendongak, deruan angin bertiup kencang  menolak kabus lantas membuka pemandangan  seindah filem dokumentari National Geographic. Kami seolah-olah berada di alam lain. Di hadapan kami terbentang puncak Gunung Fuji yang diselaputi salji memutih dilatari awan membiru.

       Turut menambah keunikan adalah rumah-rumah  penginapan pendaki yang bersusun cantik.  Semangat yang pudar akibat keletihan kembali membara.  Usai trek zig-zag, bermulalah cabaran berbatu. Trek menjadi semakin mencanak,  ada kalanya  kami terpaksa memegang rantai besi yang disediakan untuk memanjat. Salji mula kelihatan di tepi trek. Bagi sebahagian dari kami, ini adalah pengalaman  memegang salji yang pertama dan sudah tentu kami tidak melepaskan  peluang untuk bermain-main salji seketika.


IBARAT TIDUR DALAM PETI AIS

       Kenipisan oksigen mula dirasa. Beg Deuter yang digalas semakin terasa memberat. Di ketika ini hanya semangat mengatasi kudrat. Walaubagaimanapun, sempat  juga kami merakam detik-detik matahari terbenam.  7.30 petang. Dalam keadaan yang semakin gelap dan sejuk, sudah kelihatan Toyokan Inn tidak jauh dari kami. Toyokan Inn merupakan diantara sebilangan  kecil penginapan yang beroperasi awal sebelum musim mendaki. Mereka berada di situ untuk membersihkan,  menyiapkan segala kelengkapan dan keperluan untuk  pembukaan rasmi musim pendakian yang akan berlangsung dalam 14 hari lagi.  

       Walaupun penginapan kami sudah semakin hampir, tetapi kerana kepenatan yang amat sangat dan oksigen yang semakin berkurangan, anak-anak tangga ke Toyokan Inn dirasakan sudah  tidak mampu lagi  untuk di panjat. Kami berhenti setiap  tiga ke lima langkah untuk berhenti dan mengambil nafas. Air mata diantara kawan-kawan sudah mula mengalir di pipi. Dengan dorongan kata-kata semangat diantara satu sama lain, kami gagahkan juga kaki memanjat anak-anak tangga ke Toyokan Inn.

       Perlahan- lahan, satu persatu….akhirnya sampai juga kami ke tempat penginapan di stesen ke-8 pada  ketinggian 3,020 meter ini diiringi dengan linangan air mata  kesyukuran. Bersyukur kerana selamat sampai. Alhamdulilah. Penginapan di sini berharga 5000 yen satu malam (RM 200) tanpa makanan. Kami tidur dalam satu bilik yang biasanya  memuatkan 20 orang kerana kamilah sahaja tetamu untuk malam ini. Keadaan bilik yang sangat sejuk terasa seperti berada di dalam peti ais  yang besar. Kami diberi tilam dan selimut yang sangat-sangat tebal dan banyak, namun begitu, tilam, selimut, bantal dan segala peralatan di dalam bilik ini terasa sejuk seperti ais. Dengan suhu yang sangat sejuk dan kedinginan sehingga ke tulang hitam, kami melelapkan mata dengan berpakaian empat lapis lengkap
bertopi, sarung tangan dan stoking. Pendakian yang sememangnya mempunyai nilainya yang tersendiri.

       Pendakian ini menguji stamina, mental dan fizikal kami. Lebih dari itu, ia juga menguji tahap setiakawan kami berempat. Walaupun  tidak sampai ke puncak, namun kami tetap menyimpan hasrat untuk kembali lagi dan menakluknya suatu hari nanti, pastinya kali ini dengan lebih ramai lagi bersama sahabat-sahabat di DATS ADVENTURE TREKKERS MALAYSIA!