Jika anda merancang untuk mengembara ke Hanoi, Vietnam  buat pertama kali seperti rakan Libur ini, perkara pertama yang bermain di minda adalah untuk melihat keindahan semula jadi yang terdapat di bandar kedua terbesar selepas Ho Chi Minh ini. Pengembaraan Nur Bazilah ini mungkin boleh membantu perjalanan anda jika ke Hanoi nanti.

 

Berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Kuching ke Noi Bai International Airport Hanoi bermula 16 hingga 20 Mei 2014 di bawah ITC Travel Agent mengambil masa selama dua jam sepuluh minit. Buat pengetahuan anda, walaupun kebanyakan pengunjung berpendapat lapangan terbang ini sederhana tetapi ia ada menyediakan kemudahan Internet (wifi) yang luas dan terpantas.

 

TAM COC

Hari kedua mengikut jadual dari ITC Travel Agent, kami dibawa melawat Tam Coc untuk melihat tiga buah gua di sepanjang sungai. Pengembaraan menggunakan sampan yang begitu perlahan dikayuh oleh warga tempatan mengambil masa dua jam mungkin kerana mereka mengayuh menggunakan kaki dan sengaja memberi peluang untuk pelancong melihat keindahan sekeliling.

 

HOA LU ANCIENT CAPITAL

Setelah agak 'kematu' duduk di dalam sampan, kami dibawa pula melawat Hoa Lu Ancient Capital iaitu tokong milik dua orang raja bernama Dinh dan Lee. Sebaik saja memasuki tokong bersejarah ini, kami terpukau dengan landskap menarik yang terdapat di dalam kawasan ini.

 

HALONG BAY

Tidak lengkap rasanya jika tidak singgah ke Halong Bay. Halong Bay merupakan salah satu dari tujuh keajaiban dunia. Halong Bay atau Teluk Halong dikelilingi ribuan batu kapur yang berbeza bentuk dan saiz.

 

Menaiki van menuju ke Halong Bay dari Hanoi mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan. Kemudian, kami menghabiskan masa bermalam di dalam Wooden Junk (kapal). Sepanjang di dalam kapal tersebut, kami dapat menyaksikan pemandangan matahari terbenam. Wooden Junk yang bergerak perlahan membawa kami menyusuri kawasan seperti Dinh Huong Island, Duck Island, Dog Island and Sail Island. Terdapat banyak Wooden Junk di sekitar Halong Bay malah jumlah bilik yang disediakan juga bergantung kepada saiz junk itu sendiri.

 

SUPRISE CAVE

Pengembaraan diteruskan dengan melawat antara gua yang tercantik yang dikenali sebagai Suprise Cave. Rasa sejuk di dalam gua tersebut seolah-olah ada penghawa dingin terpasang di dalamnya. Jangan terlepas untuk melihat batu yang menyerupai penyu. Penduduk tempatan menganggap batu tersebut membawa tuah dan kerap menjadi lokasi pemujaan.

 

Berada di Halong Bay bukan sekadar melihat keindahan sekeliling teluk ini. Terdapat aktiviti lain yang boleh dilakukan antaranya berkayak, mendaki dan mandi manda di pantai.

 

Selesai mengembara, kami berangkat pulang ke Hanoi dan kebanyakan barang seperti cenderahati boleh didapati dengan banyak di sepanjang jalan. Oh ya! Jalan di Hanoi sangat sesak dan sibuk. Biarpun keluasan rumah penduduk hanya bersaiz kecil dan rapat tapi kebanyakannya bertingkat dan tidak banyak mempunyai tingkap. Namun, rumah mereka sangat unik kerana mempunyai ukiran yang kreatif.

 

Bagi kami, jika anda tidak berniat untuk 'shopping' dan lebih gemar melihat pemandangan, percutian ke Hanoi ini sudah cukup berbaloi kerana pengalaman berharga di tempat orang, mengenali budaya penduduk, merasa makanan, merakam kenangan dan sebagainya tidak boleh dibeli dengan wang!

 

*Kredit foto dari Nur Bazilah Ismail