10 hari yang indah. Itu yang dapat saya katakan mengenai tugasan di wilayang Xinjiang, China kali ini. Satu destinasi yang menggabungkan elemen Asia dan Eropah, merangkumi kebudayaan dan gaya hidup. ‘Xinjiang’ dalam bahasa Manchu bermaksud ‘Sempadan Baru’. Sesuai dengan namanya, wilayah ini terletak bersempadan dengan wilayah Autonomi Tibet di sebelah selatan, Qinghai dan Gansu di tenggara, Mongolia di timur, sementara Rusia, Afganistan, Krygyzstan, Tajikistan dan Kazakhstan di sebelah utara dan barat.
 
KEINDAHAN NALATI UMPAMA LUKISAN
 
       Selama 10 hari di sini, saya sempat melawat ke kawasan pergunungan Nalati yang terletak dalam wilayah Xinjiang. Majoriti penduduk di sini adalah daripada etnik Kazak yang beragama Islam. Apa yang paling menarik, ialah para pelancong boleh mendekati masyarakat di sini dan menjengah kehidupan seharian mereka. Majoriti mereka yang tinggal di sini mencari rezeki dengan bercucuk tanam dan mengembala lembu dan kambing. Di samping itu, mereka juga menghasilkan produk-produk kraftangan seperti beg dan pakaian. Jika anda datang ke sini, cuba bercakap dengan penduduk tempatan untuk membawa anda menunggang kuda bagi melihat keindahan matahati terbenam dari atas bukit. Sungguh mempesonakan!
 
URUMQI YANG UNIK
 
       Urumqi bermaksud ‘padang ragut yang cantik’, merupakan pusat pentadbiran wilayah autonomi Xinjiang yang terletak di sebelah barat laut Republik Rakyat China. Populasi di sini melebihi 2.3 juta orang di mana majoriti penduduknya beragama Islam yang merangkumi etnik Cina Han, Turki, Uyghur, Hui dan etnik Kazak. Urumqi dikenali sebagai pusat perkembangan eknomi yang terkenal di China. Apa yang menarik di sini, meskipun Umurqi sedang berkembang pesat sejajar dengan peredaran zaman, elemen klasik masih dikekalkan dalam kehidupan seharian. Contohnya, jika anda berkunjung ke restoran-restoran di sini, anda akan dapat melihat seni ukiran tradisional masyarakat China pada dinding-dinding restoran.
 
DARI URUMQI KE TURPAN
 
       Bandar purba Turpan memiliki rentetan sejarah yang panjang. Difahamkan, terdapat bukti menunjukkan manusia telah menetap di sini sejak 6,000 tahun dahulu. Ia memiliki populasi sekitar 250,000 daripada 21 etnik yang berbeza. Daripada jumlah ini, kira-kira 70% daripadanya adalah etnik Uygurs. Antara destinasi pelancongan wajib anda kunjungi di sini ialah:
 
Runtuhan Kota Jiaohe-merupakan tapak arkeologi purba Cina di Lembah Yarnaz, kira-kira 10km ke sebelah barat bandar Turpan. Lokasinya terletak di kawasan berbukit di antara lembah-lembah yang mempunyai sungai. Kebanyakan penduduk di sini beragama Buddha dan usia kota ini sendiri sudah menjangkau hampir 2,000 tahun.
 
Fleming Mountain (Grape valley)-Flemming Mountain merupakan kawasan paling panas di Xinjiang, yakni pada suhu sekitar 45 darjah selsius atau lebih. Difahamkan, Flemming Mountain popular kerana novel klasik Cina bertajuk ‘The Journey to the West’ yang ada menyebut tentang kawasan ini. Cuaca panas di sini ada kebaikannya. Sebagai contoh, tanaman buah-buahan seperti anggur begitu sesuai ditanam, khususnya di kawasan tumpuan pelancong yang dipanggil The Grape Valley, trletak 13km daripada Turpan. ‘Syurga buah anggur’ ini mempunyai kawasan seluas 400 hektar dengan kepanjangan 8km dan lebar 0.5km. Setiap bulan Ogos, satu majlis keraian diadakan kerana ketika ini buah anggur sudah masak dan akan diberikan kepada para pelancong yang mengunjungi Grape Valley.
 
Bazaar Turpan-Menjual buah-buahan kering/jeruk, produk kraftangan dan pakaian-pakaian tradisi masyarakat Xinjiang. Begitu juga dengan pelbagai jenis roti seperti yang biasa dilihat di negara Turki turut dijual. 
 
 
       Terlalu banyak yang ingin saya coretkan di sini. Satu manis pengalaman yang seakan tidak berpenghujung. Biarlah hanya foto-foto yang dirakam menceritakan segala-galanya. Bagi saya, Wilayah Xinjiang merupakan ‘syurga’ buat para jurufoto yang gemar bercuti sambil merakamkan potret terindah