Kuala Rompin kembali berpesta dengan aktiviti ‘tangkap dan lepas’, iaitu kejohanan Royal Pahang Bllfish International Challenge 2012 (RPBIC 2012). Ia merupakan kejohanan kali ke-8 dianjurkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang (PBKL Pahang) & Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dengan  kerjasama Persatuan  Memancing Malaysia (PeMM) dan Twenty First Century Media Sdn. Bhd. Daripada aspek pelancongan, acara berprestij ini sememangnya merancakkan lagi kemasukan pelancong serta pendapatan  negeri Pahang.
 
       Pada tahun lalu saja, kira-kira 9.3 juta pelancong datang ke negeri ini untuk menikmati keindahan negeri yang juga dikenali sebagai Inderapura. Kawasan perairan Rompin sememangnya dikenali sebagai lubuk utama ikan berparuh. Difahamkan, kawasan Laut Cina Selatan merupakan laluan utama spesis ikan ini  yang melakukan proses migrasi daripada Hemisfera Utara hingga ke Australia. Kejohanan  yang lebih menjurus kepada pancingan ikan berparuh/layaran (billfish) dengan konsep Tangkap dan Lepas ini menawarkan ganjaran tunai sebanyak RM 47,800.00 untuk peserta yang berjaya. Meskipun kejohanan ini tidak menawarkan  ganjaran lumayan kepada pemenang namun ia tetap berjaya menarik penyertaan antarabangsa dari Australia, Singapura dan Indonesia. 
 
       Kejohanan selama dua hari ini berjaya ini menyaksikan 463 ikan layaran (Istiophorus platypterus) berjaya didaratkan oleh peserta. Dan kesemua tangkapan tersebut selamat dilepaskan kembali dalam keadaan terpelihara. Bagi kejohanan kali ini, acara pelepasan  peserta telah dilakukan oleh  Y.Bhg. Dato’ Mirza Mohammad Taiyab, KetuaPengarah, Tourism Malaysia sementara  acara penutup majlis penyampaian hadiah pula oleh Dato’ Haji Hashim bin Mat Tahir,  Pengurus Besar, Lembaga Pembangunan Tioman. Para wakil media tempatan turut  dibawa membuat liputan acara berpretij ini. Terutamanya majalah  berkonsepkan pancing  dan pelancongan. Selain dari membuat liputan secara terus, penulis dan pengamal media lain diberi peluang merasai kehebatan aksi ikan layaran dalam usaha meloloskan diri setelah tercangkup mata kail.