Menyedari hutan bakau kini diancam kemusnahan dan kepupusan akibat fenomena semula jadi dan aktiviti manusia, satu program 'Kelestarian Pemuliharaan Hutan Paya Bakau Pencetus kemandarian Hidupan Liar Pesisir Tanjung Piai' di Taman Negara Tanjung Piai telah diadakan.

 

Aktiviti yang melibatkan 53 murid tahun 6 SK Sungai Durian, Pontian, Johor ini telah memberi peluang kepada mereka untuk menanam pokok bakau di sekitar Tanjung Piai serta mendengar taklimat daripada pegawai Taman Negara.

 

Walaupun program itu merupakan satu daripada cabaran peringkat ketiga “Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2013”, namun peluang yang ada digunakan untuk melaksanakan program khidmat komuniti dalam memastikan ekosistem hutan bakau  terpelihara.

 

Program “Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2013” anjuran Johor Corporation telah bermula pada Ogos 2013 lalu dan dijangka berakhir pada Mac 2014.

 

Menurut Guru Besar, Encik Idris Zakaria, program kerjasama Johor Corporation, Kulim (Malaysia) Berhad dan Taman Negara ini bukan saja memberi pengajaran berguna kepada murid dan generasi akan datang tetapi turut memberitahu akan kepentingan hutan bakau pada masa hadapan.

 

YBhg Dato’ Haji Jefridin Haji Atan, Timbalan Ketua UMNO Cawangan Tanjung Piai telah merasmikan program tersebut dan menyumbang sebanyak RM2,000 kepada SK Sungai Durian bagi melestarikan program tersebut.