Justeru, jemputan menyertai Program Lawatan Pengemaskinian Produk Kelantan Food Trail/Kota Bharu Sky Scenic diterima dengan hati yang terbuka. Mengikut jadual program yang dilampirkan, banyak tempat makan menarik yang bakal diterjah! Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam ini melibatkan  rakan media, mereka yang datang dari beberapa agensi pelancongan terkemuka dan pegawai pelancongan negeri. Mempunyai potpuri budaya yang agak unik hasil gabungan kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Thailand menjadikan kesemuanya bersatu membentuk hidangan Malaysia yang berupaya menarik minat pelancong luar. Mana tidaknya, ada yang sanggup memandu berjam-jam lamanya semata-mata untuk menikmati sepinggan laksam asli di sini! Grand Riverview Hotel menjadi ‘check point’ pertama kami setibanya di negeri Cik Siti  Wan Kembang. Selesai daftar masuk dan pendaftaran peserta, kami kemudiannya diminta untuk bersama-sama melihat demonstrasi masakan ‘Kerisik Ayam Kampung’ oleh Chef Grand Riverview Hotel. Nampak mudah, namun penyediaannya memerlukan kepakaran memasak apatah lagi menggunakan bahan-bahan yang cuma boleh didapati di negeri Kelantan. 
 
 
Satu-Satunya Tiada Dua
 
       Lain dari konsep makanan tradisional di hotel, kami seterusnya ke Restoran Captain T yang terletak di Lembah Sireh. Berkonsepkan sebuah restoran yang terletak di dalam kapal bersebelahan Sungai Kelantan, Restoran Captain T menelan belanja keseluruhan sebanyak empat juta. Restoran ini juga merupakan antara restoran yang terbaik di Kota Bharu kerana menyediakan pelbagai jenis juadah makan malam yang enak sambil berlatarkan pemandangan sungguh indah. Kunjungan lebih bermakna di waktu malam kerana dihiasi lampu-lampu yang menerangi seluruh kawasan restoran. Terbias cahayanya menerusi air sungai, ia seakan menggamit kedatangan setiap pengunjung. Berbalik kepada menu yang ditawarkan, hidangannya cukup menarik! Antaranya Lobster Mix Fruit Salad, Oyster Omelette, Lemon Chicken, Siput Sedut, Tomyam Seafood dan banyak lagi. Terdapat pilihan ala carte mahupun set pakej buat anda. Bagi kaki pancing, di sini juga di tempatkan sebuah ruangan khas buat anda mencuba nasib. 
 
 
 
Makan, Makan dan Makan Lagi!
 
       Selesai sarapan pagi di hotel, kami menuju ke Min Camp yang terletak di Kubang Kerian. Badan yang masih lagi terasa bergoyang-goyang dek perjalanan yang memakan masa hampir 20 minit menaiki bot di sini lenyap seketika dek pemandangan yang disajikan di sini. Lokasinya serta kawasan Min Camp sendiri yang cukup unik seakan menggamit kehadiran kami dengan seribu keikhlasan. Menyediakan lima unit kediaman yang memuatkan antara tiga hingga 10 orang setiap unit, kesemuanya dilengkapi dengan kemudahan asas ala-ala hotel. Hidangan pembuka seperti buah rambai, nasi putih, daging singgang, ikan rebus goreng, sayur rebung, jeruk mamai, sambal pauh dan budu benar-benar mengenyangkan.
 
       Pengalaman mencari lokan, demonstrasi hidangan ubi rebus dan air kelapa mengingatkan diri kepada kehidupan sebenar anak desa. Biarpun masih kenyang, kami terpaksa menjamah hidangan petang yang nampak enak. Sepinggan laksam dengan kuih serabai melangkapkan dua hari kami di sini. Tidak lengkap kunjungan ke sini sekiranya  tidak berpeluang melihat kelip-kelip. Menyusuri Sungai di Kampung Wakaf  Stan dalam malam yang gelap gelita membangkitkan satu perasaan yang tenang. Mata pula tidak henti-henti mencari cahaya kuning yang menerangi hampir di setiap pokok Berembang. Indahnya! Awal pagi, sajian Nasi Tumpang menjadi sajian utama buat semua peserta program sebelum bertolak ke Kota Bharu Flying Club Station (KBFC) yang terletak di Pengkalan Chepa. 
 
 
 
I’m Like A Bird
 
       Pakej “Sky Scenic Tour” anjuran Kelab Penerbangan Kota Bharu (KBFC) akan membawa pengunjung menaiki pesawat ringan untuk melihat keindahan sebahagian negeri Kelantan dari udara. Apa yang menarik, kunjungan kami ke sini memberi peluang untuk merasai sendiri kenikmatan berada di atas udara. KBFC merupakan satu-satunya kelab penerbangan di Malaysia yang beroperasi di bawah sebuah sekolah  penerbangan penuh Asia Pacific Flight Training Kota Bharu. Selesai taklimat dan segmen simulasi, kami dibawa ke kawasan ‘hanger’ untuk mengikuti penerbangan 30 minit sekitar Bandar Kota Bharu. Kapal terbang ini boleh memuatkan empat orang termasuk pilot. Setelah diarahkan memakai headset dan avionic radio dan transponder dihidupkan maka komunikasi melalui headset pun
bermula.
       
       Wow!! Perkataan pertama yang terkeluar dari mulut semua. Sedikit taklimat melangkapkan perjalanan bak burung yang sedang terbang girang! Dah puas terbang di udara, kami kemudiannya di bawa ke Restoran Rangnok yang terletak di lebuhraya baru Pasir Mas– Salor. Jika anda penggemar masakan Thai, wajib  s inggah di sini! Menu di sini pula diletakkan dalam bahasa Thailand. Masing-masing terbelit lidah mahu menyebut jenis-jenis hidangan, namun kami gagahkan
juga kerana sebutannya unik! Antara menu yang disajikan ialah Nuea Pad Nam Man Hoi (Daging Daun Selasih), Tom Yam Po Taek (Tomyam Seafood), Nueng Ma Now (Ikan Kukus) dan Merk Tod Kratiam (Sotong  Goreng Bawang Putih). Semuanya nampak begitu berselera menjamah hidangan apatah lagi apabila disambut mesra pelayan yang bertutur bahasa Thai. 
 
 
 
Rasa Semua Suka Semuanya
 
       Hari terakhir sebelum pulang, kami diminta untuk tidak bersarapan pagi di hotel. Ini kerana ada yang lebih istimewa menanti di Warung Pak Mat. Teh Tarik? Apa yang hebat sangat dengan Teh Tarik Pak Mat? Teh Tarik yang dianggap menu wajib jika ke ‘kedai mamak’, menjadi fenomena yang luar biasa di Warung Pak Mat yang terletak di Kampung Pisang. Paling menarik tentang teh madu ini ialah buihnya yang masih kekal walaupun air sudah sampai ke hirupan terakhir! Rasanya pula betul-betul ‘kaw’! Harga RM1.20 segelas pula dianggap cukup berbaloi. Biarpun hanya empat hari di sini, kami sudah merasakan hampir setengah daripada makanan istimewa di Kelantan.
 
       Diharapkan, tahun-tahun hadapan kami akan diundang  lagi untuk turut sama menikmati lagi ‘setengah’ makanan di negeri yang  digelar Serambi Mekah ini. Jelas, Kelantan mempunyai keunikannya tersendiri sekaligus melangkapkan negeri ini sebagai mutiara di Pantai Timur.