Bayangkan perlu berada dalam pesawat berjam-jam lamanya, sedangkan destinasi impian sedang memanggil-manggil. Kalau boleh hendak sahaja kita melompat turun dari pesawat dan sudah berada di tepi pantai, atau sedang menggumpal-gumpal salji di tangan. Perkara ini boleh dialami sesiapa sahaja terutama untuk perjalanan jauh. Ia boleh diatasi dengan beberapa tip berikut. Amaran: Anda mungkin tidak mahu tinggalkan pesawat selepas ini.

 

1. Pilih tempat kegemaran

Tempat duduk yang sentiasa menjadi rebutan adalah di tepi tingkap. Selain dapat melihat keindahan langit biru dan sayap pesawat, anda tidak perlu merasa janggal duduk di antara orang yang tidak dikenali. Pendek kata, elak mendapat tempat duduk di tengah. Jika anda tertidur sekalipun, anda tidak perlu memalingkan muka ke arah orang sebelah. Anda boleh tidur menghadap tingkap.

 

2. Bawa pemain muzik

Jangan lupa membawa pemain muzik dan dengarlah lagu-lagu kegemaran anda menggunakan headphone. Anda tidak akan merasa bosan apabila masa anda di dalam pesawat banyak dihabiskan dengan mendengar lagu-lagu kegemaran. Jika anda mendengar lagu seperti jazz, anda mungkin merasa aman. Jika anda memilih untuk mendengar lagu sentimental, anda boleh tidur dengan nyenyak. Penerbangan selama dua jam ke atas mungkin tidak terasa.

 

3. Tonton video

Tahukah anda sesetengah penerbangan, terutama yang melibatkan perjalanan jauh menyediakan sewaan pemain video dengan filem-filem terkini. Anda yang terlalu sibuk untuk menonton wayang sebelum ini bolehlah menyewanya. Malah tempahan secara online juga boleh dibuat lebih awal sebelum menaiki penerbangan.

 

4. Baca majalah yang disediakan

Jangan segan untuk membaca beberapa majalah yang ada disediakan di dalam poket kerusi pesawat. Kebanyakan majalah yang disediakan hanya terdapat di dalam pesawat. Melalui bahan bacaan ini, anda boleh tahu pelbagai tempat-tempat menarik dan tip-tip penerbangan yang lain. Penerbangan anda akan lebih ceria apabila anda membawa novel kegemaran anda untuk dihabiskan.

 

5. Berkenalan dengan penumpang lain

Usah malu untuk bertegur sapa dengan penumpang yang duduk di sebelah anda. Jika anda keseorangan, dia juga mungkin keseorangan dan berkemungkinan anda sudah menemui rakan backpack yang lain. Saling berkongsi cerita, pengalaman, tip dan sebagainya boleh membantu anda ketika bercuti kelak. Lihat, anda sudah mencipta hubungan pen pal di atas awan!

 

6. Kunyah pemanis perisa mint

Jika anda menghadapi masalah kerap mual apabila naik pesawat, jangan lupa sentiasa bawa gula-gula berperisa peppermint atau perisa yang berangin dan pedas. Aroma peppermint membantu mengelak rasa mual akibat lonjakan adrenalin sepanjang perjalanan. Elak mengambil karbohidrat sebelum terbang sebaliknya makan buah atau coklat sebagai alas perut. Tip terbaik adalah minum air isotonik.

 

7. Jurnal

Menulis jurnal pengembaraan tidak semestinya perlu sampai ke destinasi. Anda boleh menghilangkan rasa bosan dengan menulis diari, jurnal dan sebagainya ketika di dalam pesawat. Malah berkongsi tentang permulaan perjalanan juga sesuatu yang amat dinantikan oleh pembaca. Travelog gitu!

 

Oh ya! Anda tidak akan dimarahi apabila mahu bergambar bersama pramugari dan pramugara asalkan anda meminta kebenaran mereka. Ramai juga antara pramugara dan pramugari sistem penerbangan kita yang terdiri daripada artis. Ia boleh menjadi pengalaman yang sangat menarik ketika berada berjam-jam di dalam pesawat. Tidaklah anda bosan lagi.