Bagi anda yang sudah biasa menukar mata wangasing pasti tidak berdepan dengan sebarang masalah. Bagi anda yang pertama kali melancong ke luar negara, pasti berlaku kekeliruan bila bab tukar wang ini.

 

Ramai yang bertanyakan lokasi mana yang paling sesuai untuk membuat pertukaran. Mahu tukar wang di dalam negara, pusat bank, di lapangan terbang atau di negara yang dituju? Jawapannya mudah! Tukarlah di lokasi yang lebih menguntungkan, mudah dan paling penting selamat. Bagi anda yang kerap ke luar negara, anda pasti mempunyai pusat tukar mata wang kegemaran dan sudah biasa dengan 'tauke' tersebut.

 

Untuk pengetahuan, tempat pertukaran mata wang asing tidak sama kadarnya dengan tempat yang lain. Biasanya, jika anda menukar di lapangan terbang dan pusat bank, anda akan mendapat kurang daripada tempat lain. Jika anda merasakan menukar di luar negara adalah mudah, fikir sekali lagi. Hal ini kerana, ada negara yang tidak menerima Ringgit Malaysia.

 

Oleh demikian, lihat terlebih dulu mata wang negara yang dituju sebelum berangkat menerusi Internet. Maklumat nilai tukar mata wang asing adalah penting supaya anda tidak tertipu atau rugi. Tidak salah jika anda bertanyakan kepada agensi pelancongan.

 

Carilah tempat menukar mata wang asing yang boleh dipercayai untuk elak ditipu. Untuk mendapatkan lokasi yang boleh dipercayai, minta pendapat rakan yang pernah menukar mata wang asing. Jangan lupa buat pengiraan sebaik mungkin agar tidak rugi.

 

Nah... Tip sudah kami berikan. Berhati-hati dan pilihan ada di tangan anda. Selamat bercuti di negara orang!